Aaron-Wooi Yik pulang awal dari Terbuka Perancis
Aaron (kiri) dan Wooi Yik tewas kepada pasangan China pada pusingan pertama Terbuka Perancis. - Foto FB BAM
A
A
A
Aaron-Wooi Yik yang juga juara dunia itu terpaksa akur dengan kekalahan straight set kepada gandingan dari China, Liang Wei Keng-Wang Chang dalam tempoh 31 minit.
Kekalahan itu seakan badi buat kem badminton negara selepas pemain perseorangan negara, Lee Zii Jia turut tewas pada sebelah petang.
Ternyata kedudukan ke-37 ranking dunia tidak menjadi halangan buat Wei Keng-Wang Chang untuk menguasai set pertama dengan kemenangan selesa 21-13.
Pasangan negara cuba bangkit pada set kedua, namun aksi seakan tidak menjadi dan terpaksa akur tewas 21-14.
Ia adalah kekalahan kedua buat Aaron-Wooi Yik kepada pasangan China itu selepas mengalami nasib sama ketika saingan suku akhir Masters Malaysia pada Jun lalu selepas tewas 21-16, 13-21, 17-21.
Nasib sama turut menimpa beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Lai Shevon Jemie apabila tewas kepada pasangan dari Indonesia, Rehan Naufal Kusharjanto-Lisa Ayu Kusumawati 21-14, 21-10.
Kemaraan beregu wanita negara Vivian Hoo-Lim Chiew Sien juga tersekat selepas kecundang kepada gandingan dari Scotland, Julie Macpherson-Ciara Torrance 6-21, 21-13, 21-18.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!