'Cemasnya hanya tuhan yang tahu'
GOPENG - Walaupun terperangkap sekitar dua jam sahaja, namun perasaan cemas dan takut tetap menyelubungi 30 kru produksi filem dalam kejadian di Gua Tempurung dekat Sahom pada Rabu.
Selain paras air naik mendadak, keadaan cuaca yang semakin gelap dan liputan telekomunikasi yang terhad menyebabkan mangsa terdiri daripada kru, pelakon dan pengarah bimbang dengan keselamatan masing-masing.
Kesemua kru produksi warga tempatan dan Singapura itu terperangkap dalam gua berkenaan sekitar jam 4 petang selepas laluan keluar dinaiki air hingga mencecah 1.5 meter akibat hujan lebat berterusan.
Mereka bagaimanapun berjaya dibawa keluar dalam keadaan selamat tanpa sebarang kecederaan pada jam 6.10 petang oleh pasukan penyelamat.
Seorang daripada mangsa, Muhd Aidilfitri Ilias, 20, berkata, keadaan menjadi agak kelam kabut sebaik menyedari paras air naik dengan cepat.
Menurutnya, mereka bukan sahaja perlu menyelamatkan diri tetapi juga harus memastikan semua peralatan yang dibawa tidak rosak atau terkena air.
"Waktu itu air dah cecah paras pinggang, kami yang ada di bahagian bawah minta kru yang masih berada di bahagian atas segera hubungi pihak berkuasa untuk minta bantuan.
"Bimbang kalau lambat, paras air makin naik dan kami semua mungkin semakin sukar untuk keluar," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian pada Rabu.
Dia yang menyertai kru produksi berkenaan sejak dua bulan lalu mengakui, itu adalah kali pertama berdepan dengan situasi cemas seperti itu dan masih trauma dengan kejadian terbabit.
Katanya, mereka mula masuk ke kawasan gua berkenaan sekitar jam 8 pagi dalam keadaan cuaca baik.
Bagaimanapun jelasnya, ketika penggambaran dijalankan, sekitar jam 3 petang, hujan mula lebat menyebabkan berlaku kepala air di laluan air berhampiran pintu keluar gua berkenaan.
"Cemas, takut semua ada, tuhan sahaja yang tahu perasaan ketika itu," katanya.
Seorang lagi mangsa, Mohd Fitri Shah Abdullah, 25, bersyukur kerana kesemua yang terlibat dapat keluar dengan selamat.
Katanya, mereka tidak dapat menghubungi sesiapa kerana talian telekomunikasi yang terhad dan hanya menggunakan 'walkie talkie' sahaja untuk menghubungi kru yang lain.
"Bila dapat keluar sahaja, saya terus hubungi keluarga untuk maklumkan yang kami semua selamat," ujarnya.
Difahamkan, produksi berkenaan memulakan penggambaran di kawasan sekitar Gua Tempurung sejak bulan lalu dengan kelulusan Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (Puspal).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!