Dua kereta guru dilarikan pencuri
IPOH – Seorang guru mengalami kerugian RM75,000 selepas dua kereta miliknya dilarikan penjenayah dalam satu kejadian pecah rumah di RPT Batu 4, Tambun, semalam.
Kejadian itu disedari sekitar jam 4.30 pagi oleh mangsa berusia 58 tahun apabila melihat kenderaan lasak pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton dan kereta jenis Peugeot 207 tidak berada di tempat letak kereta rumahnya.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, pemeriksaan yang dibuat mangsa juga mendapati, pintu pagar dan jeriji pintu hadapan rumahnya telah terbuka luas.
“Mangsa juga mendapati kunci kedua-dua kenderaannya yang disangkut di dinding telah hilang.
“Pemeriksaan polis mendapati ada kesan umpil pada jeriji pintu rumah, namun tiada barangan berharga lain yang hilang dari rumah berkenaan,” katanya.
Menurutnya, suspek berkemungkinan masuk ke rumah itu untuk mengambil kunci kereta dan melarikannya.
“Mangsa tidak menyedari kejadian itu kerana tidak mendengar sebarang bunyi penggera atau enjin kenderaan dihidupkan,” katanya.
Beliau berkata, sehari sebelum kejadian, mangsa yang mempunyai masalah kesihatan dan tinggal bersendirian di rumah itu telahpun meletakkan dua kenderaan terbabit dalam keadaan berkunci.
“Kes kini disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah masuk kediaman, siasatan awal kita mendapati, tiada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di rumah mangsa dan tiada saksi bebas melihat kejadian itu,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!