Sabah, Kelantan, JDT, cemerlang aksi pertama Piala Malaysia
Pada aksi yang berlangsung di Stadium UiTM Shah Alam, Sabah berjaya membuka tirai jaringan pada minit ke-43 menerusi sepakan percuma Baddrol Bakhtiar sebelum pemain gantian, Maxsius Musa menghasilkan gol kedua menerusi satu rembatan deras pada minit ke-70.
Bagaimanapun, George Attram memastikan UiTM FC membawa bekalan satu gol ke Sabah bagi aksi kedua apabila meledak satu gol buat pasukannya di hujung permainan.
Dalam satu lagi aksi di Stadium Negeri, naib juara Liga Perdana, Kelantan FC berjaya mengejutkan pasukan Liga Super, Sarawak United (SUFC) menerusi kemenangan 1-0.
Jaringan tunggal dijaringkan Kenta Hara pada minit ke-82 sekali gus memberikan tonik terbaik buat 'The Red Warriors' menjelang aksi kedua di laman sendiri, Isnin depan.
Sementara itu, naib juara Piala Malaysia musim lalu, Johor Darul Ta'zim turut cemerlang pada aksi pertama Piala Malaysia selepas membelasah PJ City FC 4-0.
Gol-gol JDT dijaringkan oleh Shahrul Saad pada minit keempat diikuti Safawi Rasid, Akhyar Rashid dan Fernando Foresteri masing-masing pada minit ke-38, 70 dan 78.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!