UMNO tetap UMNO, tidak pernah ambil pengajaran
PUTRAJAYA - UMNO didakwa tidak pernah mengambil pengajaran daripada apa yang berlaku sehingga menyebabkan kerajaan di bawah pentadbirannya tumbang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu.
Tanpa menyebut nama, Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, sebelum diangkat menjadi Perdana Menteri, pelbagai janji telah dibuat UMNO.
"Akhirnya UMNO tetap UMNO," katanya dalam ucapan Jelajah Prihatin, di sini pada malam Rabu.
Menurutnya, perkara itu dapat dilihat apabila 12 Menteri Perikatan Nasional (PN) menyatakan tidak bersetuju untuk mengadakan pilihan raya pada masa ini.
"Kami Menteri PN merayu, rakyat juga merayu janganlah buat PRU kerana masa banyak lagi. Ada UMNO BN peduli? Tak ada.
"Dia dengar Zahid Hamidi cakap apa, dia dengar gang UMNO cakap apa. It's not about rakyat," katanya sambil disambut sorakan penyokong.
Beliau berkata, sikap UMNO tersebut menunjukkan suatu kelompok manusia yang tidak pernah insaf.
"Hari ini pegawai dan kakitangan kerajaan terpaksa turun naik ke mahkamah menjadi saksi.
Mereka mahu bersara awal dengan tenang tetapi terpaksa turun naik ke mahkamah disebabkan wang berbilion-bilion ringgit," katanya.
Turut hadir pada majlis itu, Pengurus PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Ketua Pemuda PN, Ahmad Fadhli Shaari.
Sementara itu Ahmad Fadli dalam ucapannya berkata, Malaysia berada zaman gelap selama berpuluh-puluh tahun di bawah pentadbiran BN.
"Adakah mahu ulangi zaman gelap BN? Ketika itu, ketua cawangan boleh tukar guru besar.
"Jangan ulangi zaman gelap BN. Pilihan raya ini adalah untuk menyelamatkan pemimpin-pemimpin BN daripada dituduh di mahkamah," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!