Kematian Noor Aizura yang dicemburui

Allahyarham Noor Aizura. - FB JKR
Allahyarham Noor Aizura. - FB JKR
A
A
A

MELAKA - Pemergian secara mengejut seorang kakitangan Jabatan Kerja Raya (JKR) Melaka yang sedang sarat mengandung meruntun hati banyak pihak.

Kisah kematian Noor Aizura Zulkifli, 40, yang tular di media sosial turut dicemburui netizen kerana kebaikannya.

Pengguna Facebook, Siti Aminah Sulaiman berkongsi kebaikan dilakukan arwah sepanjang hidupnya menerusi maklumat diperolehi daripada adiknya yang merupakan rakan sekerja wanita itu.

Menurutnya, arwah Noor Aizura yang merupakan ibu kepada empat cahaya mata sering mengamalkan solat diawal waktu selain mengenakan pakaian bersaiz besar dan menjaga aurat.

"Adik saya beritahu arwah selalu solat awal waktu. Bila masuk waktu saja, dia terus tunaikan ibadah itu.

"Arwah juga tak suka bercakap hal orang, bila ada kawan berkumpul dan bersembang, dia hanya tersenyum serta diam," kata Siti Aminah.

Menerusi perkongsian itu, Siti Aminah turut memaklumkan, pada hari kematian arwah sempat memasak untuk anak-anaknya sebelum ke hospital.

Katanya, arwah berpindah ke JKR Melaka kerana mahu lebih dekat dengan keluarga kerana suami dan dua anak arwah berada di Johor.

Artikel Berkaitan:

"Sebelum ni arwah kerja di Kuantan. Betapa sabarnya seorang isteri yang tinggal jarak jauh dengan suami selama 10 tahun," titipnya lagi.

Coretan Siti Aminah yang dimuat naik di Facebook itu mendapat 3,300 tanda emoji, 134 komen dan 703 perkongsian.

Sinarplus pada Rabu melaporkan Noor Aizura yang sedang sarat hamil sempat meluahkan 'angin tidak lepas.' Bekas arkitek itu berkongsi simptom yang dialami berkaitan pernafasan dan penghadaman.

Jenazah Allahyarham Noor Aizura disembahyangkan di Masjid A-Rashiddin Alor Gajah dan dikebumikan di Pusara Aman Kampung Jelatang, Alor Gajah pada Selasa.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!