Penghormatan buat Malaysia
PEMILIHAN Malaysia sebagai tuan rumah Kejohanan Piala Dunia Gimnastik yang berlangsung di Stadium Malawati Shah Alam dari Khamis sehingga Ahad, disifatkan satu penghormatan buat negara ini.
Menurut Timbalan Presiden Persatuan Kumpulan Estetik Gimnastik Malaysia (MAGGA), Datuk Radha Krishnan, Piala Dunia 2022 AGG Tuah Malaysia turut disokong Persekutuan Kumpulan Estetik Gimnastik Antarabangsa (IFAGG).
"Sejujurnya saya percaya adalah menjadi hasrat dan impian dalam kebanyakan persatuan sukan kebangsaan untuk menganjurkan kejohanan peringkat dunia seumpama ini di Malaysia.
"Ia secara tidak langsung memberi isyarat kepada negara luar kemampuan sesebuah badan induk itu melaksanakan tanggungjawab selain menonjolkan imej Malaysia dalam sukan ini.
"Dan kami di MAGGA yang berusia tujuh tahun sangat teruja apabila diberikan tanggungjawab dan amanah merealisasikan impian itu," katanya sidang media selepas majlis pelancaran Hotel Berjaya Times Square, di sini.
Hadir merasmikan pelancaran program itu adalah Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Untuk rekod, Malaysia mempertaruhkan 200 gimnas yang akan mengambil bahagian dalam kesemua kategori dipertandingkan, bersaing dengan Jepun, Kazakhstan, Indonesia Filipina, Hong Kong, Singapura, Korea Selatan, India dan Taiwan.
Amerika Syarikat (AS), Finland, Ukraine, Greece dan Republik Czech turut menyahut cabaran pada edisi kali ini.
Sementara itu, Ahmad Faizal menyifatkan temasya berkenaan merupakan platform terbaik mengetengahkan bakat gimnas muda negara di peringkat antarabangsa.
"Saya mengalukan kedatangan peserta dan pegawai dari seluruh dunia ke kejohanan ini yang menyaksikan buat julung kalinya Malaysia menjadi tuan rumah melibatkan penyertaan seramai 700 peserta dengan 500 peserta luar negara.
"Saya amat berbangga dengan MAGGA yang diterajui Datuk Abdul Malek Md Noor yang bekerja keras agar kejohanan ini dapat dianjurkan di Malaysia, walaupun ditangguhkan pada 2020 akibat pandemik Covid-19," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!