Mabuk punca gaduh
KUALA LANGAT - Mabuk menjadi punca pergaduhan melibatkan seorang lelaki dan sekumpulan individu di Banting, di sini pada Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor berkata, kejadian itu berlaku pada jam 2.05 pagi.
"Pergaduhan itu menyebabkan seorang lelaki rebah dan cedera di kepala akibat dipukul menggunakan topi keledar.
"Punca kejadian adalah disebabkan pergaduhan di antara mangsa dan kawan-kawannya yang ketika itu dalam keadaan mabuk," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Ahmad Ridhwan berkata, kejadian itu tular di media sosial menerusi satu rakaman video berdurasi 12 saat memaparkan pergaduhan melibatkan tiga lelaki tempatan.
Katanya, susulan itu, satu laporan dibuat pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat bagi tujuan siasatan terhadap mangsa dan suspek berkenaan.
"Kesemua suspek dalam kejadian itu telah dikenal pasti dan tindakan untuk mengesan mereka," ujarnya.
Tegasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 324/160 Kanun Keseksaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!