Tawaran TPM PH tidak sama dengan BN
SHAH ALAM – Tawaran Pakatan Harapan (PH) mewujudkan dua jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) sebagaimana dinyatakan Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Ahad adalah bagi mempercepatkan kemajuan Sabah dan Sarawak.
Ketua Pemuda PH, Dr Kelvin Yii Lee Wuen berkata, jawatan itu bersesuaian dengan pindaan Perlembagaan Persekutuan berhubung Perjanjian Malaysia 1963 yang memberi taraf sama rata kepada Sabah, Sarawak dan Semenanjung.
Katanya, dengan adanya jawatan itu, maka lebih banyak peruntukan pembangunan akan disalurkan kepada kedua-dua negeri berkenaan.
“Kedudukan Sabah dan Sarawak yang bersempadan dengan Wilayah Kalimantan bakal dimajukan secara besar-besaran oleh negara jiran kerana ibu negara Indonesia yang baharu, Nusantara akan dipindahkan ke sana.
“Sehubungan itu, seharusnya Sabah dan Sarawak mempunyai infrastruktur berkelas dunia dan boleh menerima limpahan kemakmuran yang bakal dibawa oleh negara kuasa ekonomi ke-5 besar di dunia sebelum tahun 2030 berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Selain itu, Kelvin turut menegaskan tawaran TPM dari PH juga tidak sama tujuannya seperti cadangan BN yang mahu mewujudkan tiga jawatan TPM.
Pada Ahad lalu, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan jawatan TPM dari Sabah dan Sarawak diletakkan dalam manifesto BN Sabah.
Beliau berkata, cadangan itu dikemukakan agar manifesto BN Sabah dapat mencadangkan kepada Perdana Menteri jika parti itu dominan membentuk kerajaan di Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!