Tentera Israel serang lagi Damsyik
DAMSYIK - Tentera Israel menyerang beberapa kawasan berhampiran Damsyik pada awal pagi Khamis, kata Kementerian Pertahanan Syria.
Ia merupakan serangan ketiga seumpama itu dalam tempoh kurang seminggu.
Israel telah melakukan ratusan serangan udara ke atas wilayah Syria sejak perang saudara meletus pada tahun 2011 dengan menyasarkan kedudukan kerajaan negara tersebut serta tentera sekutu yang disokong Iran dan pejuang Hizbullah.
Letupan kedengaran di ibu negara Syria pada malam Rabu hingga Khamis, lapor wartawan AFP.
“Pada sekitar 12.30 pagi, musuh Israel melakukan pencerobohan udara dari arah wilayah Palestin yang diduduki menyasarkan beberapa kedudukan di sekitar Damsyik,” kata Kementerian Pertahanan Syria dalam satu kenyataan.
Pertahanan udara Syria memintas beberapa peluru berpandu, tambah kementerian itu.
Kementerian tidak memberikan sebarang butiran mengenai sasaran dan hanya menyatakan bahawa serangan itu menyebabkan kerosakan material.
Badan Pemantau Hak-Hak Asasi Syria iaitu sebuah kumpulan pemantau yang berpangkalan di Britain berkata, Israel menyerang tapak yang disasarkan berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Damsyik.
Tidak jelas sama ada sasarannya adalah kedudukan tentera Syria atau pejuang pro-Iran.
Pada Isnin lalu, Israel menyerang sekitar Damsyik mencederakan seorang askar selepas berlakunya serangan selama tiga hari dengan menyasarkan tapak tentera Syria berhampiran lapangan terbang. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!