Bekalan satu gol Negeri Sembilan belum cukup

Barisan penyerang KDA FC dikawal ketat oleh pertahanan NS FC pada aksi pertama pusingan 16 Piala Malaysia 2022. - Foto KDA FC
Barisan penyerang KDA FC dikawal ketat oleh pertahanan NS FC pada aksi pertama pusingan 16 Piala Malaysia 2022. - Foto KDA FC
A
A
A

NEGERI Sembilan (NS) FC tidak memandang rendah keupayaan Kedah Darul Aman (KDA) FC pada aksi kedua pusingan 16 Piala Malaysia 2022 dan yakin pasukan tersebut mampu bangkit di Paroi walaupun ketinggalan 1-2 pada perlawanan pertama di Stadium Darul Aman pada malam Rabu.

Pengendali NSFC, K Devan berkata, Sang Rusa lega dengan bekalan satu gol yang dibawa pulang ke Stadium Tuanku Abdul Rahman, namun kedua-dua pasukan masih ada 90 minit untuk menentukan pasukan mana layak ke suku akhir.

Beliau yakin NS FC mampu layak ke peringkat lapan pasukan terbaik jika memanfaatkan sebaik mungkin bekalan gol dan juga kelebihan beraksi di laman sendiri pada 1 November ini.

"Kedah berpeluang untuk menjaringkan gol di laman kami dan kami tidak boleh selesa, namun NS FC ada peluang cerah untuk mara ke suku akhir dan boleh beraksi dengan lebih baik di Paroi berbanding pada perlawanan ini dalam keadaan padang yang basah.

"Saya rasa pemain saya tidak akan melepaskan peluang ini untuk mara ke peringkat suku akhir," katanya selepas perlawanan di Stadium Darul Aman pada malam Rabu.

Jelas Devan, kedua-dua pasukan sudah mengetahui dengan baik kelemahan dan kekuatan masing-masing selepas bertemu sebanyak tiga kali pada musim 2022 dan aksi seterusnya pasti menjanjikan pertembungan yang sengit.

Menurutnya, pertahanan Sang Kenari juga meningkat dengan baik pada perlawanan itu apabila banyak mengagalkan usaha dan peluang yang cuba digerakkan oleh barisan penyerang pasukan pelawat.

"Dalam keadaan padang seperti ini kita tidak boleh membandingkan dengan perlawanan lalu dan kita juga bernasib baik dapat menjaringkan gol dalam keadaan padang seperti ini, namun keputusan yang baik untuk NS FC," ujar Devan lagi.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, pemangku Ketua Jurulatih KDA FC, Victor Andrag mengakui perubahan yang cuba dilakukan pada perlawanan tersebut membuahkan hasil, namun belum cukup untuk keluar sebagai pemenang.

"Kita tewas namun pemain mahu membuktikan sesuatu kepada pengurusan dan penyokong. Pengalaman pemain muda membataskan mereka dengan pemain lawan.

"Saya harap kita boleh menambah baik keadaan kita pada perlawanan seterusnya. Saya yakin pemain-pemain boleh membuat lebih baik jika diberikan peluang kerana masa bagi persediaan menghadapi Piala Malaysia ini sangat terhad," kata beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!