Jawatan TPM dari Sabah dimasukkan dalam manifesto BN

Bung Moktar Radin
Bung Moktar Radin
A
A
A

KOTA KINABALU - BN Sabah akan memasukkan jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) dari Sabah di dalam manifesto seperti yang dicadangkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini.

Pengerusinya, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, manifesto itu akan dimasukkan dan dilaksanakan jika BN berjaya menang secara dominan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.

"Jawatan TPM akan dimasukkan ke dalam manifesto BN Sabah dan BN Sabah akan menyediakan seorang bakal TPM yang lebih berwibawa dan lebih fokus kepada tugas sebagai TPM.

"Malah urusan untuk pelantikan juga akan lebih dipermudahkan," katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai cadangan Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN untuk memasukkan jawatan TPM dari Sabah ke dalam manifesto BN Sabah pada program Gelombang BN di Kimanis, Papar Ahad lalu.

Tambah beliau lagi, kouta jawatan TPM itu adalah bagi memastikan Sabah diberi kuasa bagi menentukan hal berkaitan dengan kepentingan rakyat sabah.

"Namun tiada gunanya juga, jika ada TPM tapi tiada peranan dan kuasa untuk menentukan pembangunan di Sabah," katanya.

Beliau sebelum itu turut mengakui bahawa jawatan TPM dari Sabah memang pernah dicadangkan oleh Pakatan Harapan (PH), namun mereka gagal tunaikan.

Artikel Berkaitan:

"Mereka gagal tunaikan dan hanya berjanji kosong. Dalam konteks Sabah ini, apa yang dikatakan akan ditunaikan," katanya.

Ketua Biro Polisi DAP Sabah, Chan Foong Hin dalam kenyataannya pada Rabu mengatakan bahawa jawatan TPM dari Sabah dan Sarawak itu sudah pun dicadangkan oleh PH sebelum ini sebelum BN umumkan baru-baru ini.

Sebelum itu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN turut mencadangkan supaya jawatan itu bukan saja mewakili pemimpin dari Sabah malah dari Sarawak dan Semenanjung.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!