964 pemantauan banjir, 178 mangsa diselamatkan
SHAH ALAM - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah melaksanakan 964 pemantauan banjir di seluruh negara sejak 3 Oktober lalu.
Ketua Pengarah Bomba, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, sepanjang tempoh sehingga Rabu, seramai 178 mangsa banjir diselamatkan membabitkan 25 keluarga telah dipindahkan.
"Berdasarkan rekod, 308 pemantauan tertinggi adalah di Melaka diikuti Sarawak (284), Sabah (145) dan Johor (137).
Pemantauan selebihnya dilaksanakan di Kedah (38), Pahang (25), Terengganu (13), Perlis (5), Negeri Sembilan (4), Kelantan (3) dan Perak (2).
"Seramai 3,674 keanggotaan bomba termasuklah pasukan bomba sukarela (PBS) dan pegawai bomba bantuan (PBB) terlibat sepanjang operasi terbabit," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Tambah beliau, dari sudut logistik, sebanyak 10 buah bot, 524 jentera serta 19 lori dikerah untuk penugasan fasa peralihan monsun itu.
Menurutnya, pihak bomba turut menghantar 8,165 kilogram (kg) muatan bekalan makanan dan keperluan asas melalui laluan udara, darat dan air.
Katanya lagi, orang ramai dinasihat sentiasa mengikuti makluman, amaran dan arahan agensi keselamatan dan penguat kuasa berhubung dengan keadaan banjir serta berisiko.
"Sila pantau dan salurkan info penting kepada agensi kecemasan berkenaan persekitaran yang menjejaskan keselamatan penduduk setempat selain menangguhkan dahulu aktiviti tertentu seperti berekreasi di kawasan yang dikenal pasti berisiko akibat hujan atau kenaikan paras air.
"Masyarakat juga diminta untuk sedia berpindah apabila keadaan cuaca semakin buruk mengakibatkan paras air mula naik dan deras.
"Lengkapkan diri dan ahli keluarga dengan peralatan asas keselamatan, kit dokumen penting, alat komunikasi dan makanan asas," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!