Tetap sokong walau impian terkubur

Hazura terpaksa berpuas hati dengan kehidupan sekarang dan berharap projek penambakan tebing pantai yang sedang dilaksanakan siap dengan segera.
Hazura terpaksa berpuas hati dengan kehidupan sekarang dan berharap projek penambakan tebing pantai yang sedang dilaksanakan siap dengan segera.
A
A
A

PAKA - Walaupun impian mendiami rumah baharu tidak tercapai tetapi penduduk Kampung Pantai Laut yang kehilangan tempat tinggal dalam tragedi ombak besar lima tahun lalu tidak menyalahkan wakil rakyat di kawasan tersebut.

Hazura Halias, 39, berkata, rumah keluarganya yang berada di tepi pantai musnah dibadai ombak dan beberapa lagi rumah penduduk lain turut terjejas dalam tragedi tersebut.

Bagaimanapun katanya, mereka enam beranak dijanjikan rumah baharu yang lebih selesa dan selamat untuk didiami ketika Pilihan Raya Umum ke -14 (PRU14).

"Selepas PRU14 kami memang ditawarkan rumah baharu di Beril tetapi perlu membayar wang pendahuluan sebanyak RM5,000.

"Kami perlu membayar dalam tempoh seminggu dan tidak mungkin dapat melunaskan jumlah diminta.

"Pendapatan suami sebagai nelayan memang cukup dan kami terpaksa menolak tawaran itu," katanya kepada Sinar Harian.

Kata ibu kepada lima cahaya mata itu, walaupun janji tersebut tidak tertunai tetapi mereka tidak menyalahkan wakil rakyat dan akan tetap memberi sokongan untuk PRU15.

"Sekarang kami tinggal di rumah ibu bapa dan terpaksa bersyukur dengan keadaan sekarang.

Artikel Berkaitan:

"Untuk PRU15 kami akan tetap memberi sokongan dan mengharapkan kemenangan pucuk kepimpinan sekarang.

"Walaupun impian untuk tinggal di rumah baharu terkubur tetapi ia tidak mematahkan sokongan kami," katanya.

Hazura berkata, pemimpin setempat sentiasa memastikan kebajikan penduduk di kawasan pesisir pantai itu terbela walaupun tidak semua permintaan ditunaikan.

"Banyak keperluan lain diberi perhatian dan banyak bantuan kebajikan disalurkan kepada penduduk di sini.

"Anak saya lima orang berusia setahun hingga 20 tahun semakin membesar dan memang kami masih menyimpan impian untuk tinggal di tempat lebih baik," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!