Mayat remaja lemas ditemui di perangkap sampah
GOMBAK - Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun ditemui maut selepas dihanyutkan arus deras semasa menyeberangi Sungai Gong, Rawang, di sini bersama bapa dan adik tirinya pada Selasa.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, mayat mangsa ditemui pada Khamis lebih kurang 10 kilometer (km) dari lokasi dia dilaporkan hilang.
"Kejadian melibatkan tiga ahli keluarga hanyut ketika cuba menyeberangi sungai selepas aktiviti memancing di mana dua mangsa berjaya diselamatkan oleh pemancing lain di lokasi kejadian.
"Kedua-dua mangsa terselamat tidak mengalami sebarang kecederaan dan pencarian diteruskan menggunakan kaedah 'water surface searching'," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Norazam berkata, pencarian kemudiannya diperluaskan ke perangkap sampah berdekatan dengan bantuan anjing pengesan (K9) dan unit dron.
"Pada Khamis, jam 2.30 petang pasukan mencari telah menjumpai satu mayat remaja lelaki di kawasan perangkap sampah Fruit Valley, Bestari Jaya yang dipercayai mangsa berkenaan.
"Mayat berjaya dibawa naik ke darat oleh pihak bomba dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.
Beliau berkata, mayat berkenaan disahkan sebagai mangsa, Muhammad Alif Fahmi Abdullah,16 manakala bapa tirinya berusia 45 tahun dan adik tiri mangsa berusia 15 tahun tidak mengalami kecederaan.
"Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 3 petang, Khamis," ujar beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!