Orang Kelantan tak nak Nik Omar ke?
KOTA BHARU - Perikatan Nasional (PN) mengumpamakan tindakan Pakatan Harapan (PH) meletakkan anak Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat iaitu Nik Omar Nik Abdul Aziz sebagai calon di Perak pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) seperti pertukaran pegawai bermasalah.
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin juga mempersoalkan sama ada orang Kelantan tidak mahukan Nik Omar sehingga beliau bertanding di Perak.
“Nik Omar ni orang Kelantan ke? Pasal apa orang Kelantan tak nak dia? Kalau dia hebat, negeri Kelantan sendiri pun tak nak dia, tak apalah nak hantar dia ke mana-mana pun.
“Biasalah, sebab selalunya kalau pegawai-pegawai kerajaan sebagai contoh, apabila kita rasa dia melakukan sesuatu yang tak elok, kita hantar dia ke negeri-negeri jauh pula. Orang politik pun sama,” katanya ketika ditemui pada Program Kita Demi Negara Peringkat Zon Timur di Lembah Sireh di sini pada Khamis.
Sebelum ini, Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengumumkan Nik Omar akan mewakili PH untuk salah satu kerusi Parlimen di Perak.
Pada PRU lalu, Nik Omar sebelum ini bertanding di bawah tiket PKR di Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka, namun tewas.
Nik Omar memperoleh 2,418 undi, jauh ketinggalan di belakang dua pencabar iaitu daripada Pas yang juga penyandang, Ahmad Fathan Mahmood dapat mempertahankan kemenangan dengan 10,549 undi manakala calon BN, Mohd Fareez Nor Amran pula memperoleh 7,075 undi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!