[VIDEO] GTA umum lapan calon Pejuang, Tun M pertahan Langkawi
Pengumuman itu dibuat Pengerusi Penaja GTA, Tun Dr Mahathir Mohamad di ibu pejabat Pejuang di sini pada Khamis.
"Calon Parlimen Langkawi adalah Tun Dr Mahathir Mohamad; Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir pula akan bertanding di Parlimen Jerlun manakala Setiausaha Agung, Datuk Amiruddin Hamzah diletakkan di Parlimen Kubang Pasu," katanya.
Menurutnya, Ketua Pejuanita Che Asmah Ibrahim pula diletakkan sebagai calon Parlimen Sepang; Ketua Pejuang Perak, Mior Nor Haidir Suhaimi (Tapah), ADUN Batangkali Harumaini Omar (Hulu Selangor), ADUN Jeram, Mohd Shaid Rosli (Kuala Selangor).
"Ketua Pejuang Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan pula sebagai calon Parlimen Titiwangsa," katanya.
Beliau berkata, senarai penuh calon GTA yang bertanding menggunakan logo Pejuang akan diumumkan pada Rabu depan selepas rundingan bersama Perikatan Nasional (PN) dimuktamadkan.
"Rundingan dengan PN masih berjalan dan kita beri masa selama dua hari untuk tujuan itu," katanya.
Dr Mahathir berkata, rundingan berlangsung antara pemimpin GTA dan PN pula diwakili oleh Setiausaha Agung, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Bendahari, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
"Ada sedikit masalah yang belum kita putuskan dan tentulah calon-calon akan disesuaikan agar tidak berlaku pertindihan," katanya.
Ujar Dr Mahathir, GTA menyasarkan lebih 100 kerusi.
"Jika calon dari Sabah dan Johor dimuktamadkan, mungkin kita akan bertanding lebih 120 kerusi," katanya.
Sementara itu, ditanya mengenai ura-ura bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador akan dicalonkan oleh GTA, Mukhriz berkata, tunggu dan lihat.
Sebelum ini, GTA Negeri Sembilan mengesahkan Abdul Hamid disenaraikan gabungan itu sebagai calon bertanding di P131 Parlimen Rembau.
INFO:
CALON PRU15 GTA/PEJUANG
1. Tun Dr Mahathir Mohamad (Langkawi)
2 . Datuk Seri Mukhriz Mahathir (Jerlun)
3. Datuk Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu)
4. Che Asmah Ibrahim (Sepang)
5. Mior Nor Haidir Suhaimi (Tapah)
6. Harumaini Omar (Hulu Selangor)
7. Mohd Shaid Rosli (Kuala Selangor)
8. Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan (Titiwangsa)
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!