BN Perak umum calon Rabu depan
IPOH - BN Perak akan membuat pengumuman rasmi calon parti itu yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) seawalnya Rabu depan.
Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, makluman itu akan dibuat sejurus senarai penuh calon bertanding diperoleh daripada Pusat.
"Saya jangka senarai (calon) mungkin akan sampai ke tangan pada 1 hari bulan (November), jadi 2 hari bulan, kita dah boleh buat pengumuman.
"Kita di Perak akan cuba untuk membuat pengumuman lebih awal, memandangkan pada Jumaat iaitu 4 November merupakan Hari Keputeraan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, jadi kita akan buat lebih awal (umum calon) dari tarikh tersebut," katanya kepada pemberita pada Khamis.
Saarani ditemui selepas menyaksikan memorandum persefahaman (MoU) antara Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dengan YTL Communications Sdn Bhd dalam projek liputan rangkaian 5G di bandar raya Ipoh di Dewan Mesyuarat MBI di sini.
Dalam majlis sama turut diadakan sesi Mou bersama Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) dalam projek pembangunan industri buluh dan bersama Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) bagi perjanjian usahasama bagi pembangunan di kawasan Gunung Masoorat.
Saarani yang juga Menteri Besar Perak mengingatkan parti-parti bertanding supaya mengikut peraturan ditetapkan pihak berkuasa tempatan (PBT) terutama dalam aspek pemasangan bahan kempen seperti bendera dan gegantung.
Katanya, di sesetengah kawasan telah meriah dihiasi pemasangan bahan seumpama itu sedangkan belum memasuki tempoh berkempen.
"Ceramah dan pasang bendera semua ini tertakluk kepada peraturan PBT masing-masing kerana peraturan SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) hanya bermula selepas penamaan calon.
"Perlu ada permohonan, kalau lulus maka boleh, jika tidak, bermakna tidak boleh, ikut sepertimana peraturan sebelum ini," katanya.
Perak mempunyai 24 kerusi Parlimen dan 59 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Pada Selasa lepas, Saarani memaklumkan BN Perak menyasarkan sekurang-kurangnya menang di 40 kerusi DUN dan 15 kerusi Parlimen pada PRU15 ini.
Dalam PRU14 lalu, BN Perak merekodkan kemenangan di 12 kerusi Parlimen dan 27 kerusi DUN.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!