BSKU siasat insiden helikopter terhempas
CAMERON HIGHLANDS - Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) Kementerian Pengangkutan dan pasukan dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cameron Highlands memasuki lokasi nahas helikopter terhempas pada Khamis, bagi memulakan siasatan insiden berkenaan.
Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Deputi Superintendan Mohd Shamsuri Mohd Nor berkata, pasukan itu tiba di lokasi pada jam 2 petang bagi menjalankan siasatan.
"Syarikat pengendali helikopter juga memasuki kawasan itu bagi memulakan siasatan dan membantu pegawai penyiasat di lokasi kejadian.
"Kita serahkan kepada BSKU untuk menjalankan siasatan dan berapa lama tempoh siasatan atau bila bangkai helikopter itu boleh dibawa keluar dari kawasan nahas kita tidak pasti," katanya ketika ditemui Bernama pada Khamis.
Pesawat yang dinaiki lima anggota pasukan perubatan dan seorang juruterbang itu terhempas di kawasan Brinchang, Cameron Highlands tengah hari Rabu sewaktu melakukan pendaratan cemas.
Insiden pada jam 1.15 petang itu berlaku ketika pesawat milik swasta berkenaan dalam perjalanan dari Lojing, Cameron Highlands ke Ipoh.
Syarikat operator pesawat swasta berkenaan Layang Layang Group dalam kenyataan sebelum ini mengesahkan helikopter terlibat adalah di bawah kendalian mereka.
Pengurus Besar Kumpulannya Kapten Shahdon Poong berkata, laporan awal menunjukkan pesawat itu dalam penerbangan membawa petugas perubatan ke Tanjung Rambutan selepas berkhidmat di kawasan pedalaman Kampung Gawin, apabila ia terputus hubungan dengan Pusat Operasi Penerbangan Kumpulan Layang Layang. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!