Piala Supermokh: AMD Panthers benam Chonburi
SKUAD Akademi Mokhtar Dahari (AMD) Panthers Bawah 14 tahun (B-14) terus menghimpit kedudukan pendahulu Kumpulan A, NK Osijek selepas berjaya menewaskan Chonburi FC 4-0 di padang 2, Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD) di Kuantan, Pahang pada Khamis.
AMD Panthers yang kurang satu perlawanan daripada NK Osijek, kini mengutip enam mata berbanding NK Osijek yang cemerlang ketiga-tiga perlawanan dengan mengumpul sembilan mata.
Gol-gol pasukan AMD Panthers hasil sentuhan Muhammad Ashrif Hazee pada minit ke-13, kemudian disusuli dengan jaringan dari pada Izzudin Afif Nazarudin pada minit ke-35.
Tiga minit selepas itu, AMD Panthers menambah jaringan menerusi Putera Aqil Taufiq sebelum Izzudin sekali lagi melengkapkan kemenangan AMD Panthers melalui jaringan pada minit ke-42.
Penolong Ketua Jurulatih AMD Panthers B-14, Norhafiz Zamani Misbah gembira dengan kemenangan bermakna tersebut.
Katanya, kemenangan itu adalah hasil usaha semua pihak terutama barisan pemain yang telah menampilkan aksi bertenaga sepanjang tempoh perlawanan.
“Alhamdulillah, kami mendapat kemenangan kedua. Pujian kepada semua pemain kerana telah memberikan yang terbaik biarpun agak keletihan menghadapi jadual perlawanan yang padat.
“Kita akan bertemu dengan pasukan yang lebih bagus lepas ini (NK Osijek). Jadi kami akan mempersiapkan pasukan dengan sebaiknya dan memantau tahap kecergasan pemain setelah dua perlawanan ini berlalu,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!