AFC puji Harimau Malaya, JDT, KL City
KONFEDERASI Bola Sepak Asia (AFC) memuji pembangunan sukan paling popular dunia itu di Malaysia menerusi prestasi hebat Harimau Malaya dan kelab Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Kuala Lumpur (KL) City FC.
Presidennya, Shaikh Salman Ebrahim Al Khalifa berkata, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) di bawah kepimpinan Presiden, Datuk Hamidin Mohd Amin telah melabur di dalam pembinaan keupayaan dan keputusannya adalah membanggakan, jelas menunjukkan wawasan AFC membangunkan sukan itu dalam ahli persatuannya.
“Malaysia akan bertanding dalam pusingan akhir Piala Asia AFC 2023 selepas jarak masa yang lama. Ini satu berita menceriakan para penyokong bola sepak Malaysia yang juga boleh bergembira dengan kemaraan JDT sehingga Pusingan Ke-16 Liga Juara-Juara AFC 2022 dan sudah pasti KL City yang melangkah ke final Piala AFC 2022.
“FAM merupakan salah satu ahli persatuan terkemuka kami dan kami menghargai libat urus kedua-dua pihak yang rapat, menyaksikan FAM memanfaatkan banyak faedah disediakan AFC menerusi program dan pembiayaan pembangunan AFC,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan konfederasi itu.
Sementara itu, Hamidin berterima kasih kepada Presiden AFC di atas sokongan diberikan sambil menggariskan pelan masa hadapan FAM untuk memajukan lagi sukan itu ke seluruh negara menerusi pelbagai projek.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!