PSV dedah kelemahan Arsenal
PSV Eindhoven memadam rekod bersih Arsenal dalam saingan Liga Europa setelah mengecewakan skuad The Gunners 2-0 pada Jumaat.
Kemenangan itu mengesahkan tempat PSV ke pusingan kalah mati kejohanan kelas kedua Eropah itu menerusi jaringan Joey Veerman dan Luuk De Jong.
Kekalahan itu tidak menjejaskan kedudukan Arsenal yang selesa memimpin Kumpulan A dengan 12 mata, manakala PSV di tempat kedua dengan 10 mata.
Namun di sebalik kekalahan itu, The Gunners perlu segera bangkit ketika mereka terpaksa mengharungi jadual padat, kata jurulatih, Mikel Arteta.
Skuad kendalian Arteta akan melalui dua perlawanan di laman sendiri dalam tempoh tujuh hari.
Menentang Nottingham Forest dalam kancah Liga Perdana Inggeris Ahad ini dan kemudian FC Zurich dalam aksi terakhir Liga Europa pada Khamis.
"Saya sangat kecewa. Ia menamatkan rentetan aksi kami menang banyak perlawanan dan hari ini kekalahan pertama kami (sejak permulaan September) dan kami perlu bangkit," ujar Arteta.
Arteta turut mengucapkan tahniah kepada PSV yang menyifatkan pasukan lawan itu beraksi lebih baik.
"Kami jauh daripada tahap sebenar dan di Eropah adalah sangat sukar untuk menang.
"Kami kecewa tetapi tidak perlu menyesal. Kami perlu membalas. Pada Ahad ada perlawanan yang sangat penting, kemudian kami akan melihat aksi berdepan Zurich.
"Kami perlu menjadi lebih baik berbanding apa ditunjukkan hari ini (Jumaat)," ujar Arteta.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!