'Peluang sama rata di Parlimen Gombak'

Megat Zulkarnain
Megat Zulkarnain
A
A
A

GOMBAK - UMNO Selangor menyifatkan semua pihak mempunyai peluang sama rata untuk menang di Parlimen Gombak dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata, nama sahaja tidak cukup untuk menjamin kemenangan kerana apa yang lebih penting ialah gerak kerja dan apa yang boleh ditawarkan untuk membantu rakyat setempat.

"Saya tidak menolak andaian yang kedua-dua tokoh dari Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) adalah tokoh 'heavyweight' namun ini bukan ukurannya dan juga tidak bermakna mereka tidak boleh kalah.

"Saya lebih suka membawa pendekatan dalam memastikan semua jentera dan servis kita kepada rakyat Gombak (terus diutamakan) walaupun sewaktu kami kalah pada pilihan raya lalu.

"Walaupun kita masih belum mengetahui siapa yang akan disenaraikan nanti atau tercalon tetapi untuk PRU kali ini memanglah kita 'underdog', kita akui hakikat itu," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Megat Zulkarnain yang juga merupakan Ketua UMNO Bahagian Gombak berkata, ia juga tidak bermakna UMNO bahagian itu gentar dalam menghadapi cabaran, kerana jentera mereka sudah lama berjuang dalam kawasan Parlimen Gombak itu sendiri.

"Kita sudah menghantar lima nama calon yang sudah lama berkhidmat untuk rakyat di Parlimen Gombak dan menyerahkannya kepada kebijaksanaan rakyat setempat untuk membuat pilihan.

"Kita mencalonkan anak tempatan dan ini memang yang disebutkan dalam surat saya kepada Presiden (UMNO) dan calon ini dikenali masyarakat setempat, bukan calon datang dari luar," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, media sebelum ini melaporkan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengesahkan beliau bersedia untuk mempertahan kerusi Parlimen Gombak pada PRU15.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu berkata, beliau bersedia meneruskan khidmat dan baktinya kepada rakyat di kawasan berkenaan bagi penggal seterusnya.

Mohamed Azmin merupakan penyandang kerusi Parlimen Gombak sejak tahun 2008 selepas memenangi kerusi tumpuan itu atas tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Bagaimanapun, sekiranya mempertahankan kerusi itu pada PRU15, beliau akan bertanding di bawah logo PN.

Dalam pada itu, sumber dalaman PKR pula memaklumkan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari disebut akan bertanding di Parlimen Gombak menerusi tiket PH.

Pencalonan Amirudin di kerusi tersebut dipercayai dibuat berdasarkan pencapaian dan rekod cemerlangnya sebagai menteri besar Selangor.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!