Ketua Pembangkang cadang bubar DUN Johor
JOHOR BAHRU - [DIKEMASKINI] Pengerusi UMNO Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad akan mohon mengadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar bagi mempersembahkan cadangan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.
Beliau yang juga Ketua Pembangkang negeri berkata, cadangan itu bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan, malah disifatkan sebagai langkah terbaik untuk Johor kerana tiada calon difikirkan layak menjadi Menteri Besar daripada PH.
Menurutnya, Johor memerlukan seorang menteri besar yang berpengalaman dan mampu mentadbir negeri ini, jika mahu terus bergerak ke hadapan sekali gus mencapai usaha menjadi kuasa ekonomi baharu negara.
"Saya akan menulis surat kepada Sultan Johor dan akan mohon mengadap baginda bagi mencadangkan supaya DUN dibubarkan. Saya akan tunggu baginda Tuanku pulang ke negeri ini dalam masa terdekat.
"Langkah itu juga saya fikir akan membolehkan rakyat membuat pilihan yang tepat dan tidak lagi memilih barisan pemimpin kerana mahu mencuba-cuba, kita mahu lihat Johor terus maju ke hadapan," katanya di sini hari ini.
Selain itu, Hasni menzahirkan ucapan terima kasih kepada ADUN Kempas, Datuk Osman Sapian kerana mengambil tindakan bertanggungjawab dengan meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Johor.
Hasni yang merupakan ADUN Benut itu berkata, Osman sepatutnya digantikan lebih awal lagi susulan beberapa tindakan yang tidak disenangi rakyat sehingga menyebabkan menerima kritikan selain banyak lagi isu yang dihadapi semasa memimpin Johor.
Beliau memberitahu, bukan mudah untuk mentadbir Johor yang memerlukan seseorang yang mempunyai visi yang jelas mahu memajukan negeri dan rakyat.
"Jadi, tindakan Osman melepaskan jawatan itu harus kita hormati dan negeri ini perlu mencari individu yang mampu menggalas tugas berat itu," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!