Hamilton mahu berlumba lebih lama
PELUMBA sensasi, Lewis Hamilton memasang impian untuk aktif di litar sehingga menggapai umur 40-an sejak menyertai Formula Satu (F1) 15 tahun lalu.
Justeru, pelumba berusia 37 tahun itu berharap dapat menandatangani kontrak baharu dengan Mercedes.
Menjelang Grand Prix (GP) Mexico hujung minggu ini, juara dunia tujuh kali itu mendedahkan dia sedang berbincang dengan pasukan mengenai kontrak baharu.
Hamilton mengakui bahawa dia akan terus beraksi untuk tempoh lama.
"Kami akan membuat perjanjian baharu. Kami akan duduk dan membincangkannya dalam beberapa bulan akan datang," ujar Hamilton.
Hamilton yang akan berusia 38 tahun pada 5 Januari 2023, menyertai Mercedes pada 2013 selepas memulakan karier F1 bersama McLaren pada 2007.
Dia memenangi gelaran pertamanya pada 2008 dan memegang rekod untuk kebanyakan kemenangan (103) dan petak pertama (103).
Namun musim ini beliau berdepan aksi hambar tanpa memenangi satu pun perlumbaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!