Pertumbuhan ekonomi rantau Asia, Pasifik dijangka perlahan
PERTUMBUHAN ekonomi di rantau Asia dan Pasifik dijangka perlahan pada 2022 dan 2023 memandangkan rantau itu berdepan tiga halangan besar 'yang mungkin membuktikan ia masalah berterusan', menurut Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).
Agensi kewangan utama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang beribu pejabat di Washington menyenaraikan tiga halangan iaitu dasar yang mengetatkan kewangan global, peperangan di Ukraine dan kejatuhan mendadak ekonomi yang luar biasa di China.
Halangan yang mencabar itu menyukarkan penggubal dasar membuat pilihan, katanya.
"Ekonomi Asia yang melantun semula dengan kukuh pada awal tahun ini kehilangan momentumnya, dengan suku kedua yang lebih lemah daripada jangkaan,” kata Pengarah Jabatan Asia dan Pasifik IMF, Krishna Srinivasan pada sidang media hibrid sempena laporan 'The Regional Economic Outlook, Asia and Pacific: Sailing into Headwinds' yang dikeluarkan hari ini.
"Kami telah mengurangkan unjuran pertumbuhan di Asia dan Pasifik kepada 4.0 peratus tahun ini dan 4.3 peratus tahun depan. masing-masing turun sebanyak 0.9 dan 0.8 mata peratusan, berbanding 'World Economic Outlook' pada April yang jauh di bawah purata 5.5 peratus bagi tempoh dua dekad lalu,” katanya.
Menurut IMF, walaupun inflasi naik secara lebih sederhana di Asia pada 2021 berbanding rantau lain, harga yang turun naik dengan mendadak di pasaran komoditi global selepas Rusia menceroboh Ukraine pada Februari memberi tekanan tambahan kepada inflasi utama di Asia pada separuh pertama 2022.
Kenaikan itu turut dipengaruhi oleh peningkatan harga makanan dan bahan api- terutamanya di pasaran baru muncul dan ekonomi membangun Asia - tetapi juga mencerminkan inflasi teras yang lebih tinggi apabila ekonomi rantau itu pulih, katanya.
Berdasarkan keadaan itu, Srinivasan menekankan beberapa keutamaan untuk penggubal dasar dengan salah satunya 'mengetatkan lagi dasar monetari akan diperlukan bagi memastikan inflasi kembali kepada sasaran dan jangkaan inflasi kekal tidak berubah'.
Srinivasan berkata, penyatuan fiskal diperlukan untuk menstabilkan hutang awam dan menyokong pendirian dasar monetari. Asia kini merupakan rantau yang memilki hutang terbesar selain turut mengamalkan penjimatan yang terbesar di dunia dan beberapa negara berisiko tinggi berdepan dengan masalah hutang.
"Hutang awam dan swasta menjadi lebih teruk disebabkan pandemik kerana pertumbuhan lebih perlahan dan paras hutang lebih tinggi. Susut nilai dan kenaikan kadar faedah boleh mendedahkan kelemahan kewangan daripada leveraj tinggi dan lembaran imbangan tidak dilindung nilai, seterusnya meningkatkan nisbah hutang awam.
"Apabila kadar faedah naik, ini akan meningkatkan imbangan fiskal yang diperlukan untuk menstabilkan hutang. Pendekatan bersepadu untuk menangani cabaran ini dengan cara yang tepat pada masanya dan ditentukur dengan baik adalah penting sambil mengambil kira risiko penurunan selanjutnya,” katanya.
Pada soalan mengenai keperluan untuk Malaysia meningkatkan kadar dasar secara agresif bagi mengurangkan perbezaan dengan AS, Ketua Bahagian Kajian Serantau, Jabatan Asia dan Pasifik IMF, Shanaka Peiris menyatakan bahawa 'Bank Negara Malaysia telah bergerak agak pantas walaupun sebelum inflasi meningkat di atas sasaran'.
"Memandangkan inflasi teras yang berterusan dan beberapa faktor lain yang kami dapati, anda boleh menjangkakan lebih banyak negara lain di rantau ini akan terus untuk menurunkan inflasi di bawah sasaran menjelang 2024 seperti yang kami unjurkan pada masa ini.” - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!