Calon DAP, Sheikh Omar azam bantu kemenangan PH

Sheikh Omar (tengah), diumumkan oleh calon PH bagi kerusi Parlimen Ayer Hitam, pada Khamis.
Sheikh Omar (tengah), diumumkan oleh calon PH bagi kerusi Parlimen Ayer Hitam, pada Khamis.
A
A
A

AYER HITAM - Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Parlimen Ayer Hitam (P148), Sheikh Omar Bagharib Ali berazam untuk membantu kemenangan PH pada PRU15.

Menurutnya, biarpun bakal berdepan saingan kuat apabila menentang penyandang kerusi Parlimen Ayer Hitam yang juga Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong pada PRU15 nanti, namun dia tetap yakin pengundi di Johor atau di Ayer Hitam khususnya akan memberikan kemenangan kepada PH.

“Parlimen Ayer Hitam merupakan kawasan pengundi pelbagai kaum. Oleh itu untuk memenangi kerusi ini, pendekatan sederhana yang bersifat Bangsa Malaysia menjadi ramuan utama dan ia sangat cocok dengan semangat demokrasi dan perlembagaan Malaysia yang dijunjung tinggi oleh Pakatan Harapan.

“Walaupun bukan mudah untuk berhadapan dengan Presiden MCA, saya percaya kuasa rakyat dan izin Allah SWT akan menjadi penentunya.

“Saya menerima amanah ini dengan iltizam serta semangat yang kuat bagi membantu menambah kerusi Parlimen bagi kemenangan PH dalam PRU kali ini,” katanya pada Jumaat.

Pada Khamis, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke mengumumkan Sheikh Omar yang juga Naib Pengerusi DAP Johor sebagai calon bagi kerusi Parlimen P148 Ayer Hitam pada PRU15 kelak.

Untuk rekod, pada PRU14 lalu, calon PH yang juga Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong tewas dengan majoriti 303 undi kepada Ka Siong yang turut memenangi kerusi berkenaan buat penggal keempat.

Sementara itu Sheikh Omar berkata, kemenangan PH pada PRU15 ini dilihat sangat penting untuk masa depan rakyat negara ini.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kemenangan PH penting untuk untuk memastikan kita (rakyat) mendapat peluang pekerjaan, mampu membeli barangan dan perkhidmatan berkualiti dengan harga yang murah, dan anak-anak dapat ke sekolah serta menyambung pelajaran ke universiti.

“Sebelum ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah umumkan PRU15 sebagai 'mother of all general election' (ibu segala pilihan raya) yang wajib dimenangi oleh BN.

“Bagi kami, PRU15 ini penting untuk memastikan kerajaan PH yang dibentuk selepas 19 November nanti akan mentadbir negara dengan baik, amanah dan berintegriti. Ekonomi dipulihkan, ringgit distabilkan, keharmonian rakyat terus dijaga serta dapat nama Malaysia diangkat semula ke mercu dunia.

“Justeru, dengan rendah hati, saya memohon sokongan pengundi P148 Ayer Hitam untuk mengundi PH. Dengan iringan doa, marilah kita menadah tangan ke hadrat Ilahi agar Ayer Hitam dapat melakar masa depan yang lebih baik dan gemilang untuk Malaysia,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!