Jatuh motosikal, warga emas maut digilis lori
PETALING JAYA - Seorang warga emas maut digilis sebuah lori selepas terjatuh daripada motosikal ditungganginya di Kilometer 2.5 Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) menghala Damansara di sini pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, lelaki berusia 64 tahun itu dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas sejurus tiba di lokasi kejadian sekitar jam 6.50 pagi.
"Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Petaling Jaya menerima satu laporan pada jam 8.02 pagi berkenaan kemalangan melibatkan sebuah motosikal jenis Honda Wave dan lori CAMC.
"Mangsa, seorang lelaki tempatan berumur 64 tahun dipercayai telah terbabas lalu terjatuh sebelum digilis sebuah lori yang melalui tempat kejadian," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Fakhrudin berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk dibedah siasat.
Katanya, siasatan lanjut di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kematian.
"Saksi kejadian mohon tampil ke balai polis berhampiran atau berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Muhammad Hisyam Azih di talian 0177378704," ujar beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!