Harap tiadalah wakil rakyat 'hantu' lagi: Pengundi wanita

Pengundi wanita menuntut penyelesaian isu setempat, peluang pekerjaan dan calon tempatan pada PRU15 ini. - Gambar hiasan
Pengundi wanita menuntut penyelesaian isu setempat, peluang pekerjaan dan calon tempatan pada PRU15 ini. - Gambar hiasan
A
A
A

KANGAR – Penyelesaian isu setempat, peluang pekerjaan dan calon tempatan adalah tuntutan pengundi wanita terhadap calon parti yang mahu bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Tinjauan Sinar Harian mendapati, pengundi wanita yang ditemui tidak mahu menuntut ‘bulan dan bintang’ daripada bakal kerajaan baharu namun berharap isu tempatan menjadi permasalahan rakyat sejak sekian lama dapat diselesaikan.

Suri rumah, Hamidah Salleh, 51, berkata, dia berharap parti bertanding pada PRU15 dapat memilih calon tempatan yang mempunyai kredibiliti serta mesra rakyat.

“Pada PRU15 ini, diharapkan tiadalah wakil rakyat ‘hantu’ lagi. Wakil rakyat yang muncul untuk meraih undi semata-mata.

“Kami tidak mahu wakil rakyat yang duduk (menetap) di Kuala Lumpur, nasib rakyat di kawasan mereka tidak diendahkan langsung. Kami perlukan wakil yang boleh membela nasib kami di sini,” katanya ketika Sinar Harian di sini pada Jumaat.

Peniaga, Muzalifah Zulkepli, 34, pula berharap lebih banyak peluang pekerjaan diwujudkan terutama di negeri Perlis.

“Peluang pekerjaan terhad malah pada masa ini, susah untuk dapat kerja mengikut bidang sama dengan kelayakan akademik. Saya sendiri mengalami kesukaran ini.

“Saya mohon untuk menjadi guru KAFA (Kelas Agama dan Fardu Ain) tetapi susah nak dapat walaupun telah mengambil pelbagai sijil ditawarkan kerajaan berkaitan pendidikan awal kanak-kanak,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, suri rumah, Rosliza Roslin, 45, tidak kisah untuk mengundi mana-mana calon namun individu yang mahu menjadi wakil rakyat itu perlu berintegriti dan berupaya menyelesaikan masalah setempat.

“Calon yang nak bertanding itu perlu ‘bersih’ daripada rasuah, amanah dan bertanggungjawab serta ikhlas menjalankan tanggungjawab sebagai wakil rakyat.

“Kita perlu calon yang mahu bekerja untuk rakyat dan membantu menyelesaikan isu setempat. Di Perlis ini, isu yang tidak pernah selesai adalah mengenai peluang pekerjaan yang terhad,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!