'Kerusi PD jadi rebutan mungkin sebab Anwar'

Dari kiri: Michael, Chi Kin
Dari kiri: Michael, Chi Kin
A
A
A

PORT DICKSON - Belum lagi penamaan calon namun kerusi Parlimen Port Dickson dianggap antara 'kerusi panas' di Negeri Sembilan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Jika pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson pada tahun 2018 menyaksikan pertembungan tujuh penjuru, pilihan raya kali ini juga dijangka begitu.

Parti yang dikenal pasti bakal menghantar calon untuk 'berperang' di Port Dickson termasuk Pakatan Harapan (PH), BN, Perikatan Nasional (PN), Gerakan Tanah Air (GTA) dan Parti Barisan Penyatuan Nasional (BPN).

Parti Warisan (Warisan) Negeri Sembilan menerusi Ketua Penerangannya, Rahamat Ishak sebelum ini dilapor berkata, Parlimen Port Dickson antara empat kerusi Parlimen yang mungkin ditandingi parti itu pada PRU15.

Bagaimanapun, sehingga kini tidak pasti siapa calon yang bakal diletakkan.

PH diwakili Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun manakala GTA hampir pasti menamakan pelakon dan pengarah, Dr Ahmad Idham Ahmad Nazri.

Paling memberi kejutan apabila aktivis, Abdul Rani Kulup Abdullah mengesahkan bakal bertanding atas tiket Barisan Penyatuan Nasional (BPN) di kerusi itu.

Naib Ketua Cabang Port Dickson, Chiew Chi Kin berkata, kerusi Parlimen itu menjadi tumpuan berkemungkinan disebabkan ia milik Anwar sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

"Jadi agaknya orang lain rasa nak cuba nasib bertanding di sini untuk naikkan reputasi mereka.

"Tapi walau banyak saingan sekalipun, saya yakin menteri besar bukan saja mampu pertahan kerusi itu untuk PH, tapi menang besar. Yang lain-lain itu sekadar 'wayang' saja untuk kacau undi.

"Bagi saya pertembungan itu hanya berlaku antara PH dan BN saja, " katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chuah, Datuk Michael Yek Diew Ching berkata, Port Dickson yang terkenal sebagai lokasi pelancongan merupakan antara faktor kerusi itu menjadi rebutan ramai.

"Penyandang Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim pun sudah memperkenalkan ia sebagai satu kawasan yang baik dan menarik.

"Lagi pun komposisi kaum di sini (Port Dickson) tidak jauh berbeza antara satu sama lain, jadi masing-masing berpendapat ia lokasi sesuai untuk 'mempromosikan' diri dan melihat kekuatan mereka," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Meskipun Port Dickson bakal menyaksikan pertandingan sengit, namun beliau yakin PH dapat mempertahankan kemenangan kerusi Parlimen itu pada PRU15 kerana meletakkan seorang menteri besar bertanding di situ.

Ujar beliau, Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli turut menyatakan Aminuddin merupakan menteri besar paling popular selain Parlimen Port Dickson juga merupakan kubu kuat PH.

"Lagipun sudah tiga penggal PH menang kerusi ini. Kalau Anwar boleh menang besar walaupun berdepan pertembungan tujuh penjuru pada PRK lalu, begitu juga dengan Aminuddin," katanya.

Untuk rekod, Anwar memenangi PRK Port Dickson dengan majoriti 23,560 undi dengan memperoleh 31,016 undi.

PRK itu menyaksikan pertembungan tujuh penjuru yang mana lima daripadanya merupakan calon Bebas, dua daripadanya ialah bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dan bekas pembantu peribadi Anwar, Saiful Bukhari Azlan.

PRK Parlimen itu diadakan selepas penyandangnya, Datuk Danyal Balagopal Abdullah mengosongkan kerusi berkenaan pada 12 September 2018 bagi membolehkan Anwar kembali ke Dewan Rakyat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!