Pemimpin adalah khadam umat
SHAH ALAM - Seorang pemimpin yang dipilih dengan kuasa rakyat adalah pelayan atau khadam umat dan hendaklah mengamalkan politik matang yang berpaksikan kepada kepentingan rakyat dan negara.
Perkara itu ditegaskan menerusi khutbah Jumaat di seluruh masjid di Selangor pada Jumaat.
Menurut teks khutbah berkenaan, pemimpin perlu menghentikan pertikaian dan suara-suara politik yang berpanjangan sehingga menggugat kestabilan pemerintahan dan negara ini.
"Bangunkan negara bersama dan melalui proses semak dan imbang yang bertanggungjawab demi kesejahteraan rakyat.
"Ketidakstabilan kerajaan pada ketika selepas pilihan raya yang lalu seharusnya menjadi satu pengajaran kepada kita semua untuk memilih pemimpin masa hadapan," jelas teks khutbah tersebut.
Khutbah itu turut menyenaraikan ciri pemimpin yang baik iaitu mengamalkan empat sifat iaitu siddiq atau jujur sehingga dapat dipercayai peribadi, ucapan serta tindakannya; tabligh atau penyampai yang berkemampuan dalam berkomunikasi serta berunding; amanah atau bertanggungjawab dalam menjalankan tugasnya; dan fatanah atau cerdas dalam mengatur perancangan, strategi serta implementasinya.
Kesilapan dalam memilih calon bakal mengundang negara yang tidak stabil dan kucar kacir.
"Jangan memilih pemimpin yang hanya memperlekeh agamanya. Fakta sejarah menunjukkan ramai pemimpin yang meletakkan perjuangannya atas dasar agama, memelihara bangsa, mempamerkan ketelusan dan amanah, namun setelah berkuasa segalanya berubah.
"Hakikatnya ketika berkuasa, hanya berlaku tindakan menjaga kepentingan kelompok dan kekuasaan, balas dendam dan saling menyalahkan sejarah masa lalu.
"Apabila berkuasa, agenda menjaga Islam dan hak orang Islam bertukar kepada membela individu tertentu atau kelompok sendiri berbanding membela rakyat. Hasilnya, gagal menjaga kesatuan bangsa, kestabilan politik dan kehormatan negara sebagaimana didambakan oleh kita semua," katanya.
Khutbah tersebut turut mengingatkan parti yang bertanding bahawa manifesto tidak boleh hanya menjadi alat atau janji dalam mempengaruhi minda serta persepsi rakyat tentang masa depan.
"Jangan kerana keghairahan kuasa yang bakal dimiliki oleh pemimpin, manifesto populis dibuat untuk menduduki puncak kuasa dan hakikatnya membohongi rakyat semata-mata.
"Akhirnya manifesto dikatakan bukan 'kitab suci' yang wajib dipatuhi. Manifesto perlulah realistik dan bersifat komprehensif yang meliputi setiap aspek keperluan rakyat dan masyarakat, kestabilan politik, keselamatan negara dan ketenteraman awam.
"Janji masa depan adalah terlalu berharga bagi rakyat dan negara untuk dikorbankan demi mencapai matlamat politik jangka pendek individu atau kumpulan tertentu. Sesungguhnya kepentingan Islam, Melayu, umat Islam dan bumiputera sangat perlu diutamakan.
"Kedudukan Raja-raja Melayu, institusi agama dan hak-hak orang Melayu wajib dipertahankan, dalam masa yang sama tidak meminggirkan hak-hak agama dan bangsa lain," kata khutbah tersebut.
Selain itu, khutbah tersebut turut menegaskan Malaysia merupakan sebagai sebuah negara majoriti Islam sekali gus perlu memastikan calon pemimpin yang dipilih mestilah mempunyai karakter yang kuat, bekerja keras dan mempunyai inisiatif dan daya usaha, bijaksana di dalam kepelbagaian ras, bangsa dan agama.
"Pemimpin negara untuk Malaysia yang hebat memerlukan pemimpin yang berpegangan teguh kepada prinsip-prinsip agama Islam, berintegriti dan bermoral tinggi.
"Pemimpin masa depan hendaklah mampu menentukan sesuatu dengan tepat dan betul serta hendaklah menjaga semua unsur penting kedudukan Islam, umat Islam serta agama dan bangsa lain.
"Pemimpin masa depan juga hendaklah mampu memacu kemajuan spiritual dan fizikal yang seimbang dan membina asas-asas perpaduan sebuah negara mengikut kerangka ditetapkan.
"Sekali lagi, di tangan kita semua terletak hak bagi menentukan pemimpin yang mampu memperbaiki kerosakan dan masalah integriti sedia ada, membuka jalan dan menuju kecemerlangan dan kegemilangan masa depan negara," katanya.
Justeru, menurut khutbah tersebut, bagi merealisasikan pemimpin dan masa depan negara yang ideal serta dihormati, beberapa faktor perlu dilihat dan dinilai dengan akal yang sihat, berpandukan ilmu pengetahuan yang benar, pengalaman masa lalu dan situasi persekitaran semasa.
"Siapa bakal dipilih menjadi pemimpin merupakan faktor utama bagi umat Islam kerana pemimpin yang dipilih adalah potensi masa depan dan tonggak kepada kejayaan sebuah pentadbiran negara yang berintegriti dan gilang gemilang," jelas khutbah tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!