Nasihat Rafizi kepada calon PKR
KUALA LUMPUR - Calon-calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang bakal turun mewakili Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) telah diingatkan kepada beberapa perkara.
Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, calon-calon ini perlu sedar bahawa karier sebagai ahli politik adalah pekerjaan yang paling dibenci rakyat.
"Jangan nanti menang sahaja jadi 'Yang Berhormat' terus lupa diri, terus jadi bangsawan. Terus bawa kereta besar dan rumah besar.
"Ini yang tidak boleh. Nasihat saya kalau tidak mahu kena maki rakyat, hiduplah macam rakyat biasa yang lain," katanya ketika berucap pada majlis Malam Pengumuman Calon Keadilan di Padang Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Taman Kosas malam ini.
Rafizi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PKR berkata, calon perlu membuang perasaan merasakan diri mereka yang terbaik dan haruslah sentiasa merendah diri serta mendekati rakyat.
"Rakyat mahukan wakil yang mudah didekati dan faham isi hati rakyat. Kalau kamu tidak bersedia, musnahlah karier politik kamu.
"Kalau dah menang tetapi tidak laksanakan tanggungjawab, parti dan rakyat yang akan kena hentam," jelas beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!