Misi menang buat ‘panglima’ Amirudin, Rodziah
AMPANG - [DIKEMAS KINI] Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Tiga, Rodziah Ismail diumumkan sebagai ‘panglima’ Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi merampas kembali ‘kerusi pengkhianat’ yang dibawa lari susulan Langkah Sheraton.
Dalam Majlis Pengumuman Calon PKR yang berlangsung di Padang Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Taman Kosas pada Jumaat, Amirudin dinamakan sebagai calon bagi Parlimen Gombak, sekali gus dijangka berdepan dengan bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Rodziah pula diumumkan sebagai calon bagi Parlimen Ampang dan bakal bertemu dengan Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM), Datuk Zuraida Kamaruddin.
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula diumumkan secara rasmi sebagai calon bagi Parlimen Tambun, manakala isterinya yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail seperti dijangka akan beralih ke Parlimen Bandar Tun Razak.
Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli pula kembali ke Parlimen Pandan, manakala empat Naib Presiden iaitu Nurul Izzah Anwar akan mempertahankan kerusi Permatang Pauh, Nik Nazmi Nik Ahmad (Setiawangsa), Chang Lih Kang (Tanjung Malim) dan Datuk Seri Aminuddin Harun pula akan mengambil alih tempat Anwar di Port Dickson.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Adam Adli Abd Halim yang baharu pertama kali bertanding, akan bersaing di Parlimen Hang Tuah Jaya manakala Ketua Wanita, Fadhlina Sidek akan menjadi calon parti itu di Parlimen Nibong Tebal.
Beberapa nama besar turut disenaraikan, antaranya bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik (Simpang Renggam); Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) PKR, Dr Zaliha Mustafa (Sekijang); bekas Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Jufitri Joha (Rembau); anak kedua bekas Mursyidul Am Pas, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat iaitu Nik Omar (Pasir Salak) dan bekas Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Husam Musa (Pasir Mas).
Beberapa nama turut digugurkan, antaranya penyandang kerusi Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul, namun diganti dengan calon muda yang juga anaknya sendiri, Dr Mohamed Taufiq Johari, 26.
Selain itu, penyandang kerusi Parlimen Sungai Buloh, R Sivarasa turut digugurkan dan diganti dengan Timbalan Ketua Penerangan PKR, Datuk R Ramanan dan penyandang Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah juga digugurkan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!