Guru perlu diberi masa tingkat kemahiran murid
SHAH ALAM – Silibus tinggi bukan menjadi isu, sebaliknya guru perlu diberi masa untuk meningkatkan kemahiran murid yang lemah.
Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad berkata, guru boleh menggunakan kuasa autonomi untuk menyelesaikan dan mengubah usai pembelajaran murid.
“Bila guru tahu murid-murid dia lemah, jadi dia akan ubah suai pendekatan pembelajaran, mengambil kira psikologi dan persekitaran murid.
“Maka dia laksanakan amalan pengajaran dengan merendahkan silibus itu setakat yang diperlukan oleh pelajar,” katanya.
Beliau berkata demikian pada program Disebalik Isu bersama Finaz Yunus (FY) ‘Apa hala tuju silibus sekolah rendah kita?’ yang disiarkan disemua platform Sinar Harian pada Jumaat.
Turut menjadi panelis Mantan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (KPM),Tan Sri Alimuddin Mohd Dom dan Pakar IQ Kanak-Kanak, Dr Noor Aishah Rosli.
Anuar berkata, guru tidak cenderung untuk kurangkan silibus itu, sebaliknya berilah mereka kesempatan untuk menyampaikan silibus yang tidak terlalu padat sekali gus boleh digunakan untuk meningkatkan kemahiran murid.
“Kepadatan silibus harus diberi perhatian, sebagai contoh silibus Tahun Satu matematik ada lapan tema, dalam lapan tema itu dipecahkan kepada 32 topik, mungkin topik-topik yang tak sempat diajar boleh anjak ke tahun yang lain.
“Bagi menyelesaikan isu ini pakar-pakar dan guru-guru cemerlang perlu duduk di KPM (Kementerian Pendidikan Malaysia), tengok perkara yang penting untuk kita sampaikan, kurangkan kandungan silibus. Berilah peluang untuk murid-murid mahir perkara-perkara yang menjadi asas silibus tersebut.
“Tapi bila dia jumpa dengan murid yang cemerlang, guru yang ada kemahiran dilatih bertahun-tahun ubah suai boleh sampaikan lebih tinggi dari murid-murid tersebut,” kata beliau.
Mengulas lanjut mengenai Pentaksiran Bilik Darjah (PBD), Anuar berkata, tanpa aktiviti tidak akan wujud PBD yang berkesan.
“Tetapi dalam kelas yang mempunyai 45 orang murid, bagaimana guru nak melakukan aktiviti kerana terlalu ramai.
“Ini kerana satu hari dia mengejar enam kelas, sudah lebih 200 lebih murid dengan setiap murid itu ada penilaian Tahap Penguasaan (TP) yang perlu ditanda,” jelasnya.
Anuar berkata, di negara luar PBD dilaksanakan dengan guru diberikan ruang yang sangat fleksibel untuk mereka melakukan akitiviti.
“Kemudian baru boleh laksanakan intervensi, sebagai contoh kita tahu murid itu lemah tahap penguasaan (TP2) misalnya, tapi tak buat aktiviti sebab tak sempat namun kita teruskan sahaja, jadi apa maknanya PBD itu,” jelas beliau.
Tambah Anuar lagi, ramai setuju peperiksaan dimansuhkan tetapi apabila kita hendak laksanakan PBD, ia mestilah berfasa dan kerajaan perlu percaya dengan guru, jika tidak PBD didapat dilaksanakan.
“Kita boleh mulakan dari Tahun 4, 5, 6 supaya kita dapat melihat murid -murid ini dapat bergerak bersama dengan pelaksanaan PBD yang berkesan,” ujar beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!