Dr Mahathir sanggup rendahkan diri demi kerjasama dengan PN

Dr Mahathir
Dr Mahathir
A
A
A

ALOR SETAR - Perikatan Nasional (PN) menolak pelawaan Gerakan Tanah Air (GTA) untuk menjalin kerjasama politik bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) walaupun kedua-dua gabungan itu mempunyai matlamat sama untuk mengalahkan Barisan Nasional (BN).

Pengerusi Penaja GTA, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, sebahagian besar rakyat meminta supaya parti-parti lawan sepatutnya bergabung untuk memastikan kekalahan BN, namun Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin menolak cadangan kerjasama politik tersebut.

Menurutnya, walaupun masih terkesan dengan tindakan Muhyiddin yang disifatkan ‘menikam belakang’ namun beliau sanggup ketepikan kisah lama agar matlamat tersebut dapat dicapai.

“Itu kehendak rakyat. Kita pun fikir tak apalah, kalau pun dia tikam belakang kita namun kerana bangsa, negara dan agama, kita sanggup rendahkan diri untuk bekerjasama.

“Walaupun dia khianat saya, tak apalah saya boleh lupakan perkara itu.

"Tetapi bila kita cuba nak kerjasama dengan Muhyiddin dalam partinya yang dikenali sebagai Perikatan Nasional, dia jawab apa? Dia tak nak kerjasama dengan siapa saja. Bukan main sombong,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada program Rapat Umum GTA di sini pada Jumaat.

Dr Mahathir yang juga Penasihat Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) kesal kerana sepatutnya sebagai orang Melayu dan Islam, tidak wujud pertelingkahan, malangnya politik telah menyalahgunakan agama Islam.

“Ini menyebabkan kita berpecah. Apabila kita berpecah, kita jadi lemah. Bersatu teguh, bercerai roboh. Itulah slogan yang kita guna tetapi sebenarnya kita sukar bersatu dan apabila GTA ingin bersatu dengan parti-parti lain, mereka semua tolak,” katanya lagi.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, ini merupakan satu malapetaka yang memisahkan orang Melayu apabila berpolitik.

“Ada yang kata saya tak suka kepada orang itu, orang ini, itu tak benar. Mereka yang tak suka kepada saya.

"Sebab itu kita tak dapat adakan perpaduan dalam kalangan orang Melayu yang semuanya beragama Islam,” katanya.

Dr Mahathir turut mempersoal hasrat PN untuk meletakkan calon di 222 kerusi Parlimen bagi membolehkan Muhyiddin dilantik semula sebagai Perdana Menteri.

“Mana boleh letak calon sampai 222 orang, tak kan boleh menang 111, susah bagi dia sebab bukan seorang jaguh yang sudah berkhidmat bertahun-tahun dan menyumbang kepada kemajuan negara," katanya lagi.

Bekas Perdana Menteri itu juga menegaskan GTA tidak sesekali akan mempergunakan agama untuk kepentingan peribadi.

“Kita hormati agama, orang Melayu semua orang Islam. Kita tak pernah berpecah.

"Sebab itu sebelum ada politik, orang Melayu tidak ada masalah tetapi bila ada politik dan ada orang menggunakan agama untuk mendapat sokongan politik, berpecahlah orang Melayu sehingga separuh daripada orang Melayu ini dikatakan kafir kerana tak masuk parti tertentu,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!