Bukan mudah gugurkan sahabat setia: Anwar
AMPANG - Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui, bukan mudah untuknya menggugurkan beberapa ahli Parlimen daripada senarai calon dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Menurutnya, apa yang lebih berat adalah ada antara mereka merupakan sahabat setianya dan berjuang dalam parti sejak sekian lama.
“Ada antara mereka yang telah berkorban tenaga sejak puluhan tahun. Ya, tidak mudah untuk kita menggantikan tempat dengan orang baharu yang kita tidak tahu kemampuannya dan masih belum teruji.
“Orang baharu ini ada yang belum sampai ke jalan (protes jalanan) dan merasai pengalaman kena serbu dengan polis. Jadi, saya nak ingatkan jangan rasa hebat sangat apabila dicalonkan.
“Tawaduk, belajar dan mesti kerja sekuat mungkin,” katanya sewaktu berucap pada Majlis Pengumuman Calon PKR yang berlangsung di Padang Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Taman Kosas pada Jumaat.
Antara nama yang digugurkan adalah penyandang kerusi Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul namun diganti dengan calon muda yang juga anaknya sendiri, Dr Mohamed Taufiq Johari, 26.
Selain itu, penyandang kerusi Parlimen Sungai Buloh, R Sivarasa turut digugurkan dan diganti dengan Timbalan Ketua Penerangan PKR, Datuk R Ramanan dan penyandang Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah juga digugurkan.
Tambah Anwar, proses untuk memilih 72 calon yang akan ditandingi parti itu sangat rumit dan melelahkan kerana terpaksa memilih barisan pejuang yang lama dan baharu.
Jelasnya, ramai calon yang disenaraikan mempunyai bakat dan keupayaan, namun ada beberapa nama yang banyak memberikan sumbangan kepada parti terpaksa digugurkan.
“Demikianlah hukum alam dan perjuangan, mesti ada peralihan kuasa, tidak boleh orang yang sama kekal sampai bila-bila.
“Harap rakan-rakan yang dipilih bersyukur kepada ALLAH SWT dan bertekad lebih kuat. Bagi yang tidak mendapat tempat, mereka perlu ingat sumpah keramat yang dilaungkan, iaitu berjuang bukan kerana jabatan dan nak menjadi calon.
“Mereka berjuang kerana bersumpah untuk membela nasib rakyat seluruhnya. Itu peringatan yang baik supaya kita insaf dan belajar daripada pengalaman,” ujar beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!