Amanah Johor bertanding enam kerusi Parlimen
JOHOR BAHRU - Parti Amanah Negara (Amanah) Johor mengesahkan akan bertanding di enam kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Pengerusinya, Aminolhuda Hasssan bagaimanapun berkata, setakat ini pihaknya hanya dapat mendedahkan tiga kerusi melibatkan Parlimen Pulai, Pengerang dan Sri Gading, manakala selebihnya dijangka diumumkan pada Sabtu.
“Untuk pertama kali, Amanah akan bertanding bagi enam kerusi... kita akan umumkan semua setelah kita selesai berjumpa dengan calon-calon di Kuala Lumpur.
“Selepas itu, kita akan umumkan kerana sebabnya masih lagi ada perkara-perkara yang perlu diperbincangkan bagi memastikan enam kerusi itu menjadi milik Amanah.
“Setakat ini, kita hanya boleh umumkan tiga iaitu untuk Parlimen Pulai, calonnya adalah Datuk Seri Salahuddin Ayub, Datuk Che Zakaria Mohd Salleh (Pengerang). manakala bagi Sri Gading, kita masih berteka-teki,” katanya kepada pemberita sempena Fundrising Dinner Pakatan Harapan (PH) Johor di Pusat Konvensyen Austin pada Jumaat.
Sementara itu, Aminolhuda menyifatkan kemenangan buat Amanah dan Pakatan Harapan (PH) Johor pada PRU15 banyak bergantung kepada jumlah pengundi yang keluar mengundi.
Oleh itu katanya, diharapkan pada tarikh mengundi atau seminggu sebelumnya, tidak berlaku banjir dan semuanya berada dalam keadaan selamat agar rakyat dapat keluar mengundi.
“Kita harap agar rakyat dapat keluar mengundi beramai-ramai, tetapi pada masa yang sama, kita juga rasa kecewa apabila tambang penerbangan dari Sabah dan Sarawak terlalu tinggi dan ia dilihat seperti mengambil kesempatan sempena PRU15.
“Apa pun, kita harapkan sebanyak 75 peratus dapat keluar mengundi dan kita yakin ia dapat dikumpulkan kerana semangat untuk keluar mengundi semakin tinggi dalam masyarakat berbilang kaum di negara kita,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!