'Undi dengan bijak, pastikan Malaysia jadi pilihan pelabur'
KUALA LUMPUR - Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menggesa pengundi muda berusia18 hingga 20 yang akan mengundi buat pertama kali pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) untuk melaksanakan hak dan tanggungjawab demokrasi mereka sebagai warganegara untuk mengundi dan memastikan masa depan negara.
"Mengundi adalah sebahagian daripada tanggungjawab sivik anda kerana anda bertanggungjawab bagi masa depan negara anda. Pertaruhannya tinggi kerana keputusannya akan membawa impak kepada penggubalan dasar pada masa depan.
"Pilihan di tangan anda. Adakah anda akan memilih penggubal dasar yang responsif dan bertanggungjawab yang dalam masa yang sama mengambil pendekatan reformis demi anak-anak anda? PRU akan datang akan menjadi penentu bagi anda, jadi pilihlah secara bijak kerana setiap undi adalah penting,” kataya.
Beliau berkata demikian ketika Forum Ekonomi Belia 2022 yang bertemakan 'Mengemudi haluan positif bagi pembinaan negara dengan ketangkasan, daya tahan dan impak' di sini pada Sabtu.
Tengku Zafrul berkata, negara perlu memulihkan kestabilan untuk menaik kembali pelabur dan komuniti perniagaan antarabangsa.
"Apa cara yang lebih baik untuk melakukan ini selain daripada melahirkan hasrat anda melalui peti undi. Kelaknya, tidak kira apa juga keputusannya, kita perlu merapatkan barisan kerana kita semua #TeamMalaysia, dan Malaysia HARUS menang,” katanya.
PRU15 ialah pilihan raya umum Malaysia pertama yang mana usia mengundi adalah 18 tahun ke atas berbanding 21 tahun sebelum ini. Sejumlah 1,393,549 pengundi berusia antara 18 dan 20 di negara ini akan mengundi buat pertama kali dalam PRU15. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!