Teka-teki nasib Pogba
PELUANG pemain tengah, Paul Pogba untuk memanaskan badan bersama Juventus menjelang Piala Dunia Qatar bulan depan agak tipis.
Jurulatih Juventus, Massimiliano Allegri berkata, bintang Perancis itu tidak diturunkan bersama Juve sejak kembali ke kelab Serie A itu musim panas lalu kerana kecederaan lutut.
Katanya, kelabnya akan beraksi beberapa perlawanan lagi menjelang saingan Piala Dunia pertengahan November ini.
Beliau juga tidak pasti sama ada Pogba akan beraksi pada perlawanan terakhir Juve pada 2022 menentang Lazio di Turin pada 13 November sebelum Les Bleus memulakan usaha mempertahankan gelaran dunia mereka.
“(Federico) Chiesa dan Pogba tiada dalam skuad. Tidak mungkin mereka akan dipilih pada hari Rabu (menentang Paris Saint-Germain dalam Liga Juara-Juara) dan 99 peratus mereka juga tidak akan tersedia untuk Inter Milan.
“Jika mereka kembali, ia mungkin sangat sukar. Mereka mungkin ada dalam skuad untuk pertemuan dengan Verona dan Lazio, namun ia juga sangat sukar sekali,” kata Allegri kepada pemberita.
Jurulatih Perancis, Didier Deschamps dijangka menyenaraikan skuadnya untuk kejohanan di Qatar pada 9 November.
Les Bleus dijadualkan turun pada perlawanan pertama Piala Dunia menentang Australia pada 22 November.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!