PRU15: Radzi sasar lonjak Putrajaya ke tahap lebih tinggi

Mohd Radzi menjawab pertanyaan media selepas Majlis Pelancaran Bengkel Penulisan Cerpen dan Penerbitan Antologi Cerpen Penulis Cilik Peringkat Kebangsaan di SMK Putrajaya Presint 16 (1) pada Sabtu. - Foto Bernama
Mohd Radzi menjawab pertanyaan media selepas Majlis Pelancaran Bengkel Penulisan Cerpen dan Penerbitan Antologi Cerpen Penulis Cilik Peringkat Kebangsaan di SMK Putrajaya Presint 16 (1) pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Calon Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin menyatakan hasrat untuk melonjakkan kawasan itu ke tahap lebih tinggi khususnya dalam aspek pengangkutan awam sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Mohd Radzi berkata, aspek lain termasuk menambah baik penyelenggaraan kuarters kerajaan dan ruang parkir sebagai cerminan imej Putrajaya yang merupakan bandar pentadbiran Persekutuan.

"Saya yakin pengundi di Parlimen Putrajaya akan melihat PN sebagai pilihan yang lebih baik.

"Kita (PN) juga pernah memerintah ketika pandemik Covid-19 dan kita telah buktikan Perdana Menteri ketika itu (Tan Sri Muhyiddin Yassin) bekerjasama rapat dengan kakitangan awam dan menghormati pandangan yang diberikan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Bengkel Penulisan Cerpen dan Penerbitan Antologi Cerpen Penulis Cilik Peringkat Kebangsaan di sini pada Sabtu.

Mohd Radzi yang juga Naib Presiden Bersatu berkata, sepanjang tempoh empat tahun berada di pusat pentadbiran Persekutuan itu, beliau telah memanfaatkan peluang tersebut untuk menyantuni warga Putrajaya bagi merapatkan hubungan serta memahami isu setempat.

Pada PRU14, Bendahari UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengekalkan kerusi Parlimen Putrajaya apabila menang dengan majoriti 3,372 undi mengalahkan calon Pas, Zainal Abidin Kidam dan calon PKR, Datuk Samsu Adabi Mamat.

Radzi pada PRU14 bertanding di kerusi Parlimen Ketereh namun kalah kepada Tan Sri Annuar Musa. - Bernama



Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!