Diakite gesa benteng TFC diperkemas

Diakite (tengah) harap rakan sepasukan mengekalkan aksi cemerlang pada perlawanan pusingan kedua Piala Malaysia menentang Sri Pahang minggu depan. - Foto Bernama
Diakite (tengah) harap rakan sepasukan mengekalkan aksi cemerlang pada perlawanan pusingan kedua Piala Malaysia menentang Sri Pahang minggu depan. - Foto Bernama
A
A
A

TONGGAK pertahanan import Terengganu FC (TFC), Pape Diakite menggesa rakan sepasukannya agar memperkemas benteng pertahanan menjelang aksi timbal balik Piala Malaysia menentang Sri Pahang FC pada Selasa.

Menurut Diakite, prestasi cemerlang yang dipersembahkan pada perlawanan pusingan pertama di Stadium Darul Makmur Khamis lepas perlu diteruskan bagi memastikan skuad Penyu mara ke peringkat suku akhir saingan Piala Malaysia musim ini.

"Saya percaya kami telah mempamerkan aksi hebat di Stadium Darul Makmur Khamis lepas namun ruang sentiasa ada bagi penambahbaikan. Saya harap kami boleh beraksi lebih baik pada perlawanan seterusnya di hadapan penyokong kami," katanya.

Dalam perlawanan Khamis lepas, TFC mempamerkan aksi cemerlang apabila menewaskan Sri Pahang 5-1 pada perlawanan pusingan pertama saingan Piala Malaysia.

Kemenangan tersebut meletakkan TFC dalam keadaan selesa dan boleh dianggap 'sebelah kaki' sudah ke pentas suku akhir walaupun TFC dan Sri Pahang akan bertemu pada aksi timbal balik pada 1 November di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.

Diakite berkata, dia sedang dalam proses penyembuhan selepas mengalami kecederaan ringan ketika perlawanan menentang Sri Pahang dan yakin dapat pulih dengan segera.

Sementara itu, pemain pertahanan TFC, Muhamad Shahrul Nizam Ros Hasni berharap gandingannya bersama Diakite akan terus membuahkan hasil dan berjaya mengekang kemaraan lawan.

"Sebagai pemain pertahanan, elemen kawalan dan ketenangan paling penting dalam memastikan kubu tidak dibolosi. Apatah lagi beraksi dalam perlawanan Piala Malaysia yang mempunyai prestij tersendiri," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!