'Henderson sudah bersedia sahut cabaran Piala Dunia'
STEVE Cooper percaya Dean Henderson telah membuktikan penjaga gawang Nottingham Forest itu berada pada prestasi terbaik untuk menyarung jersi England pada Piala Dunia 2022 di Qatar, November ini.
Malah pengendali Nottingham Forest itu menganggap Henderson telah melakukan yang terbaik untuk mendapatkan tempat dalam skuad The Three Lions ke Qatar 2022.
Malah jelas bekas pengendali skuad Bawah 17 tahun England itu, Henderson telah membuktikan keputusan menyahut cabaran luar dari Old Trafford merupakan satu tindakan tepat demi masa depan karier bola sepaknya.
“Tidak syak lagi Henderson mempunyai beberapa detik yang sangat penting untuk Nottingham Forest musim ini. Terdapat prestasi yang menonjol dalam aksi beberapa minggu lalu tetapi kami melihat secara keseluruhan prestasinya.
“Saya pasti kakitangan skuad bola sepak England memantaunya dan dia sudah pasti memberi peluang terbaik untuk dirinya sendiri.
“Adalah bagus untuk Henderson beraksi seperti biasa di Liga Perdana Inggeris kerana dia akhirnya dapat mempamerkan kebolehan dan tahap diri sendiri.
“Itu adalah perkara yang lebih baik daripada tidak bermain, terutamanya buat penjaga gol. Saya benar-benar tidak berfikir untuk membandingkannya dengan yang lain, itu tugas Gareth dan dia adalah rakan saya, jadi saya tidak akan campur tangan dalam hal itu.
"Apa yang saya tahu ialah Henderson bekerja kuat, dia mempunyai perkembangan minda sebenar baik di dalam dan luar padang," katanya.
Penjaga gol berusia 25 tahun itu menyertai Forest pada musim ini sebagai pemain pinjaman daripada Manchester United.
Henderson pada ketika ini bergelut bersama pasukannya The Reds, untuk menyesuaikan diri dengan kehidupan baharu keluarga EPL selepas keluar dari Liga Kejuaraan.
Untuk rekod, Henderson berada dalam skuad Gareth Southgate untuk perlawanan Liga Negara-Negara bulan lalu, ketika penjaga gawang utama England, Jordan Pickford mengalami kecederaan.
Situas itu menyaksikan Henderson secara realistik bersaing dengan Aaron Ramsdale dan Nick Pope untuk satu slot ke Qatar 2022.
Nottingham yang sebelum ini berjaya mencatat kemenangan kedua pada awal musim ini dalam saingan EPL, apabila menundukkan Liverpool, 1-0.
Namun yang mencuri tumpuan pada perlawanan di City Gound itu ialah kelibat Henderson yang tampil sangat cemerlang untuk menafikan beberapa percubaan pelawat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!