Jelajah AKM diteruskan jika kerajaan diberi mandat: PM
KUANTAN - Kerajaan akan meneruskan program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata, program tersebut dihentikan sementara bagi memberi laluan kepada PRU15.
"Ini mungkin destinasi terakhir sebelum Pilihan Raya Umum ke-15, Insya-ALLAH jika diberi peluang teraju kerajaan ini sekali lagi, program ini yang terhenti sebentar ini akan disambung semula selepas PRU15,” katanya semasa berucap pada Jelajah AKM Pahang yang diterajui Kementerian Pertahanan, di sini pada Sabtu.
Hadir sama, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Jelajah AKM bermula pada 3 Mac lepas di Johor diikuti Perlis, Sabah, Terengganu, Perak, Kelantan, Sarawak, Selangor, Kedah, Negeri Sembilan dan Melaka.
Jelajah AKM memudahkan rakyat di setiap negeri mendapatkan maklumat terus mengenai bantuan dan perancangan yang ditawarkan kerajaan dan program ini sangat penting dalam menguar-uarkan manifestasi dan pelaksanaan usaha berterusan kerajaan, dalam membantu meringankan beban rakyat secara turun padang ke seluruh negara.
Jualan murah sempena Jelajah AKM, sentiasa mendapat sambutan di semua negeri terlibat selain terdapat pelbagai pameran dan gerai jualan daripada peniaga kecil termasuk peniaga industri kecil sederhana (IKS), yang turut diberikan peluang menjual barangan mereka.
Sementara itu, Ismail Sabri yang memperkenalkan konsep 'Keluarga Malaysia' sejak mula menggalas jawatan Perdana Menteri yakin, keluarga yang sentiasa diikat dengan kasih sayang akan menghadapi apa juga cabaran.
Tegasnya, dengan menjunjung semangat Keluarga Malaysia, bukan sahaja negara dapat mewujudkan kestabilan politik dan ekonomi, malah dapat mengekalkan keharmonian dan kemakmuran yang dinikmati setiap lapisan masyarakat.
"Sesungguhnya, tiada yang lebih penting selain menjaga keluarga," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!