Makanan tambahan punca derita kanser
KOTA BHARU - Lambakan makanan tambahan di pasaran yang didakwa boleh mengurangkan derita pesakit kanser sebenarnya antara punca utama penyakit itu menjadi lebih serius.
Pakar Perunding Bedah Kanser Payudara dan Endokrin Hospital Raja Perempuan Zainab II, Datuk Dr Imi Sairi Ab Hadi berkata, pesakit perlu tahu bahan yang dimasukkan dalam produk berkenaan.
Menurut beliau, makanan tambahan bergantung kepada kandungan bahannya dan sekiranya terdapat estrogen, risiko untuk mendapat kanser lebih tinggi.
"Sebelum membeli suplemen, kena pastikan kandungannya kerana ada hormon tertentu yang boleh mengakibatkan kanser," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Pink Walk 2022 di sini pada Sabtu.
Dr Imi Sairi turut menasihatkan orang ramai yang teruja untuk cantik dan sihat supaya mempunyai pengetahuan berkaitan bahan-bahan dalam produk makanan tambahan yang popular di pasaran.
Dalam pada itu, Dr Imi Sairi berkata, wanita muda berusia antara 30 hingga 40 tahun kini lebih mudah diserang kanser terutama kanser payudara.
"Faktor utama kanser ini ialah mewarisi daripada genetik keluarga iaitu ibu, ibu saudara atau nenek selain pengambilan hormon kecantikan dan pil perancang yang tidak terkawal," katanya.
Katanya, jumlah pesakit kanser payudara meningkat dua kali ganda sejak lima tahun lalu.
Beliau yang juga pengasas Kelab Kanser Payudara (Kedara) turut memberitahu, golongan lelaki turut diserang kanser payudara tetapi sikap ego mereka menyebabkan penyakit itu lambat dikesan.
"Mereka tidak mahu melakukan saringan dan akibatnya kanser merebak menjadi lebih serius.
"Dalam tempoh 20 tahun, seramai 20 pesakit kanser payudara lelaki dirawat di Kelantan tetapi kini hanya seorang yang masih hidup dan berusaha untuk sembuh," katanya.
Program Pink Walk 2022 dirasmikan oleh Tengku Puan Temenggong Kelantan, Tunku Puan Sri Noor Hayati Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj.
Sementara itu Tunku Noor Hayati berkata, program berkenaan disertai 1,030 peserta termasuk 98 pesakit kanser yang berjalan kaki sejauh sejauh 3.5 kilometer.
Beliau berkata, kini lebih ramai yang peka dengan penyakit kanser dan melibatkan diri dengan pelbagai program berkaitan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!