Calon DAP Melayu bukan ancaman BN
BATU PAHAT - Strategi DAP meletakkan calon Melayu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) terutama di kerusi Parlimen Ayer Hitam dilihat bukan satu ancaman kepada BN.
Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, BN tidak gentar kerana memiliki calon berwibawa, berpengalaman dan bukan sebagai 'bidan terjun'.
"Sebagai penyandang kerusi Parlimen Ayer Hitam, saya pernah berdepan dengan calon Melayu pada 2004. Sekarang DAP letak calon Melayu, itu cara mereka dan kita juga ada cara kita.
"Kita tidak selalu tukar calon. Apa pun sesiapa sahaja yang datang, saya tidak boleh sekat. Ini kerana soal bertanding di Ayer Hitam saya serahkan kepada rakyat menilai siapa yang bersama mereka selama ini. Kehadiran kita bukan sebagai 'bidan terjun'," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Hari Sukan Negara Peringkat Daerah Batu Pahat dan Program Bantuan Lesen Memandu Keluarga Malaysia (BLKM) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Suria Perdana di sini pada Sabtu.
Sebelum ini, Pakatan Harapan (PH) menamakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paloh, Sheikh Umar Bagharib Ali sebagai calon kerusi Parlimen Ayer Hitam pada PRU15.
Pada PRU14 lalu, Ka Siong mempertahankan Ayer Hitam selepas menewaskan Liew Chin Tong dengan majoriti undi 303 undi.
Ayer Hitam merupakan kawasan majoriti Melayu yang telah diwakili oleh Ka Siong selama empat penggal.
Dalam pada itu, Ka Siong yakin pengundi muda akan memilih BN berdasarkan kepada prestasi yang ditunjukkan ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Mac lalu.
"Pada PRN Johor, calon MCA, Ling Tian Soon berjaya memenangi kerusi DUN Ayer Hitam. Salah satu faktor yang menggembirakan ialah kemenangan tersebut disumbangkan daripada saluran orang muda.
"Saya yakin jentera di BN Ayer Hitam telah siap sedia, namun kita tidak boleh berasa terlalu selasa. Kita perlu kerja keras, menang atau kalah itu adat. Saya serah kepada pengundi Ayer Hitam," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!