‘Dakwaan Pas kuda tunggangan hanya tuduhan politik’

Mohd Amar (tengah) ketika Dialog Bersama Pimpinan Kerajaan Negeri Kelantan di Bangi pada Sabtu.
Mohd Amar (tengah) ketika Dialog Bersama Pimpinan Kerajaan Negeri Kelantan di Bangi pada Sabtu.
A
A
A

BANGI - Dakwaan mengatakan bahawa Pas merupakan kuda tunggangan hanya satu tuduhan politik.

Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, setiap parti di negara ini turut mengadakan pakatan antara satu sama lain.

“Alasan dia kata kita ini sekali berpakat dengan orang itu, sekali berpakat dengan orang ini. Parti lain pun macam itu juga.

“Di Malaysia, mana ada parti lain tidak berpakat. Semua berpakat. DAP pun berapa kali tukar. Sekali dengan Pas, sekali dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Dialog Bersama Pimpinan Kerajaan Negeri Kelantan di sini pada Sabtu.

Mohd Amar yang merupakan Timbalan Menteri Besar Kelantan turut menyifatkan Pas adalah sebuah parti yang hebat kerana bertanding dalam pilihan raya sebelum ini seorang diri berbanding parti lain.

“Hebatnya Pas ini dia berani tanding seorang. UMNO pun sampai sekarang tak pernah tanding seorang. Mula dengan Perikatan, lepas itu BN,” ujarnya.

Menurutnya, segala tindakan yang dibuat oleh Pas adalah demi kepentingan Islam.

Artikel Berkaitan:

“Pas ini dasar dan matlamatnya Islam. Dia buat keputusan-keputusan asalkan apa yang boleh kepada Islam dan apa maslahah kepada agama.

“Itu perkara asas paling utama. Kalau kita rasa kita buat ini menguntungkan Islam, kita buat walaupun bekerjasama dengan kafir,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Amar berkata, pihaknya sedang mempertimbangkan untuk menyediakan bas kepada rakyat negeri itu yang berada di luar Kelantan balik mengundi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

“Ini dalam pertimbangan kita. Tapi belum ada keputusan lagi,” tegasnya.

Beliau juga menggesa agar rakyat Kelantan untuk balik mengundi bagi menunaikan tanggungjawab mereka.

“Terutamanya pengundi kali pertama. Ini sebabnya tujuannya untuk menggunakan hak yang diberikan oleh perlembagaan.

“Bagi saya orang bayar ke tidak bayar (tambang balik mengundi) sebenarnya itu nombor dua. Ini disebabkan hak kita penting untuk dimanfaatkan dan ini bukan datang selalu. Sekali dalam lima tahun.

“Jadi ambillah peluang ini untuk menunaikan hak kita dengan bijaksana,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!