AMD Panthers B-13 tempah slot final
SKUAD Akademi Mokhtar Dahari (AMD) Panthers bawah 13 tahun (B-13) menepati ramalan mara ke final setelah menewaskan Asiana Soccer School 2-1 pada aksi yang berlangsung di Padang 3, Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari, Kuantan, Pahang pada Sabtu.
Mohamad Iman Danish membuka tirai jaringan AMD Panthers B-13 pada minit ke-12, sebelum Muhamad Asmadi menokok gol kedua pada minit ke-31 untuk mendahului Asiana Soccer School 2-0 pada babak pertama.
Bersambung separuh masa kedua, Asiana Soccer School berjaya memperoleh gol pertama melalui Mochamad Mierza Firjatullah pada minit ke-56.
Bagaimanapun gol itu belum cukup untuk mengekang kemaraan AMD Panthers B-13 ke pentas akhir dengan kemenangan 2-1.
Ketua Jurulatih AMD Panthers B-13, Abd Aziz Ismail gembira dengan pencapaian anak didiknya dan berharap agar kejuaraan Piala Supermokh B-13 pada edisi kali ini menjadi milik mereka.
Beliau turut memuji barisan pemainnya yang memberikan aksi terbaik sehingga melayakkan mereka ke perlawanan akhir pada Ahad.
“Tahniah kepada semua pemain kerana kita telah mencapai kemenangan hari ini (Sabtu) seterusnya layak ke peringkat akhir yang akan berlangsung esok (Ahad).
“Semestinya, untuk mana-mana pasukan yang layak ke peringkat akhir ingin menjadi juara begitu juga kami.
“Pemain saya bermain dengan baik dalam semua empat perlawanan sebelum dan besarlah harapan saya agar kejuaraan menjadi milik kami untuk edisi kali ini,” katanya.
Satu lagi perlawanan separuh akhir B-13 menyaksikan Buriram United B-13 menewaskan PVF Academy 4-3 menerusi sepakan penalti setelah kedua-dua pasukan terikat 3-3 pada masa sebenar.
AMD Panthers B-13 akan membuat perhitungan dengan Buriram United B-13 pada perlawanan akhir jam 4 petang di Padang 5, AMD pada Sabtu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!