PNSB, MGB lancar Rumah Idaman MBI kedua di Sepang

Amirudin (dua dari kiri) bersama Hock San (lima dari kanan) melihat replika projek perumahan Rumah Idaman Melur.
Amirudin (dua dari kiri) bersama Hock San (lima dari kanan) melihat replika projek perumahan Rumah Idaman Melur.
A
A
A

SEPANG - Projek Idaman Melur, salah satu daripada enam projek Rumah Idaman Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI) dilancarkan di Galeri Jualan KITA @ Cybersouth di sini pada Sabtu.

Projek berkenaan adalah usaha sama Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB), anak syarikat kerajaan negeri Selangor di bawah MBI dengan MGB Berhad, anak syarikat PKNS Bina Group Bhd.

Projek Idaman Melur terletak di lokasi strategik Cybersouth, Sepang terdiri daripada dua buah blok pangsapuri 23 tingkat yang dibina di atas tanah berkeluasan kira-kira empat hektar (12.4 ekar).

Pangsapuri dengan anggaran Nilai Pembangunan Kasar (GDV) RM414 juta berkenaan dibina berdasarkan tiga variasi reka bentuk dan ditawarkan dengan harga bermula daripada RM250,000.

Idaman Melur merangkumi sejumlah 1,448 unit pangsapuri berkeluasan binaan minimum 1, 000 kaki persegi dengan tiga bilik tidur dan dua bilik air serta dilengkapi penghawa dingin, peti sejuk, almari pakaian, kabinet dapur, televisyen, kabinet televisyen dan pemanas air.

Projek berkenaan adalah antara enam buah projek Rumah Idaman MBI yang terdiri daripada 7,210 unit rumah mampu milik yang kesemuanya memanfaatkan teknologi pra-tuang Sistem Binaan Berindustri MGB (IBS).

Sebelum ini, projek Idaman Bandar Saujana Putra dilancarkan Oktober tahun lalu berjaya menarik minat pelabur dengan kadar pengambilan kukuh bagi kesemua unit ditawarkan dari satu fasa ke fasa lain.

Projek-projek ini akan dibina oleh Konsortium PCSB-MGB, yang merupakan usaha sama antara MGB dan PNSB Construction Sdn Bhd, anak syarikat PNSB dengan jangkaan melancarkan empat lagi baki projek Rumah Idaman MBI menjelang 2023.

Artikel Berkaitan:

Naib Pengerusi Eksekutif MGB, Tan Sri Lim Hock San berkata, pihaknya berbesar hati untuk menjadi sebahagian daripada pemaju hartanah yang akan membantu merealisasikan misi kerajaan dalam memastikan rumah-rumah dibina dengan harga yang mampu dimiliki setiap rakyat Malaysia.

Lim Hock San - Foto oleh Rosli Talib
Lim Hock San - Foto oleh Rosli Talib

"Dengan pengalaman luas kami dalam pembinaan, kami yakin akan dapat membina rumah Rumah Idaman MBI dengan kualiti yang akan menjadi penanda aras untuk rumah mampu milik di Selangor.

"MGB berbesar hati kerana sistem pratuang IBS digunakan ke dalam pembinaan pembangunan Rumah Idaman MBI dan selaras dengan matlamat kami untuk menjadi penyedia solusi perumahan terkemuka melalui sistem IBS.

"Untuk jangka pendek, matlamat MGB adalah untuk memastikan pelancaran baki projek Rumah Idaman MBI berada di landasan yang betul dan seterusnya membawa kepada tempahan berterusan di masa depan," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Rumah Idaman Melur dan Program Penanaman Pokok @ Jelajah Selangor Penyayang (JSP) Sepang yang disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PNSB, Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim dalam ucapannya berkata, PNSB akan terus merealisasikan Projek Rumah Idaman di kawasan-kawasan strategik dan berpotensi di Selangor antaranya di Petaling, Gombak, Kuala Langat, Klang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam.

"Di dalam 24 buah projek yang dilaksanakan oleh PNSB, sebanyak 45,760 unit Rumah Idaman bakal dibangunkan bersama rakan-rakan strategik, satu usaha direalisasikan dengan bantuan dan gandingan tenaga daripada semua pihak.

"Mengimbas kembali projek yang telah dilaksanakan, sebanyak 2,059 unit Idaman Abadi di Kajang 2 telah pun siap manakala 1,260 unit idaman Bukit Jelutong sedang giat dilaksanakan dan disebabkan permintaan tinggi, unit-unit kedua pembangunan tersebut habis dijual," katanya.

Pendaftaran bagi Idaman Melur boleh dilakukan melalui https://ehartanah.lphs.gov.my dan https://mgbgroup.com.my/idaman-melur/.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!