246 pelajar IPT terima bantuan RM500

Penerima Bantuan Pengajian KPT-PTPTN bergambar bersama Apli.
Penerima Bantuan Pengajian KPT-PTPTN bergambar bersama Apli.
A
A
A

SHAH ALAM - Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menerusi program Bantuan Pengajian KPT-PTPTN Prihatin telah memperuntukkan RM123,000 kepada 246 pelajar institut pengajian tinggi (IPT) di seluruh negara yang merupakan peminjam agensi itu daripada golongan kurang berkemampuan.

PTPTN dalam satu kenyataan berkata, program itu diadakan untuk menyalurkan bantuan sara hidup kepada pelajar yang kurang berkemampuan bagi meringankan beban kewangan mereka.

“Setiap pelajar yang layak akan menerima bantuan RM500 secara ‘one off’ dan akan disalurkan ke dalam akaun bank pelajar.

“Bagi memastikan pelaksanaan program ini dapat dilaksanakan dengan teratur dan menepati kumpulan sasaran yang ditetapkan, PTPTN telah mengadakan kerjasama dengan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri dan IPT terlibat,” jelas kenyataan itu pada Sabtu.

Menurut kenyataan itu, Pengerusi PTPTN, Dr Apli Yusoff telah menyampaikan Bantuan Pengajian KPT-PTPTN Prihatin yang diadakan bermula 8 Oktober lalu di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Dato’ Haji Abbas, Terengganu dan seterusnya akan ke kawasan-kawasan yang lain.

Turut hadir, Pengurus Besar Kanan, Jabatan Komunikasi Korporat dan Pemasaran PTPTN, Wan Zawiah Wan Abu Bakar dan Pengurus Besar Negeri, Pejabat PTPTN Negeri Terengganu, Azizah Nasik@Abd Rashid.

Sementara itu, Apli berkata, dalam usaha meningkatkan akses pendidikan kepada masyarakat tanpa mengira kaum dan latar belakang, PTPTN telah mengadakan pelbagai program berimpak tinggi bagi membolehkan masyarakat terus mendapat bantuan sewajarnya.

Artikel Berkaitan:

Apli (kiri) ketika menyerahkan Bantuan Pengajian KPT-PTPTN Prihatin berjumlah RM500 kepada penerima yang bermula sejak 8 Oktober lalu.
Apli (kiri) ketika menyerahkan Bantuan Pengajian KPT-PTPTN Prihatin berjumlah RM500 kepada penerima yang bermula sejak 8 Oktober lalu.

“Saya berharap sumbangan ini dapat membantu mengurangkan beban kewangan pelajar di IPT. Jadikan bantuan ini sebagai pendorong atau motivasi untuk berusaha bersungguh-sungguh dan fokus kepada pembelajaran bagi mencapai keputusan yang cemerlang sekali gus mendapat pekerjaan yang baik serta mampu mengubah nasib keluarga untuk menikmati kehidupan yang lebih selesa,” katanya.

Sejak penubuhan pada tahun 1997, PTPTN telah diamanahkan untuk menyediakan pinjaman pendidikan kepada warganegara Malaysia yang berjaya ke IPT awam mahupun swasta yang diiktiraf oleh kerajaan.

Dengan peranan, jasa dan sumbangan, PTPTN telah merealisasikan matlamat melahirkan generasi berpendidikan dan melahirkan ramai modal insan sepanjang penubuhan 25 tahun PTPTN.

Insiatif Program Bantuan Pengajian KPT-PTPTN Prihatin ini akan memberi impak positif dan manfaat kepada pelajar seterusnya membina lebih ramai graduan cemerlang.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!