Kerusi bertindih, Amanah dakwa diberi laluan tanding Changkat Jong
TELUK INTAN - DAP tidak pernah menyuarakan mengenai keinginan mereka di peringkat Pakatan Harapan (PH) Perak untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Changkat Jong sebelum ini.
Naib Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Perak, Dr Muhaimin Sulam berkata, sebaliknya kerusi itu hanya menjadi rebutan antara Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Amanah.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan PKR telah memberi laluan kepadanya untuk bertanding di kerusi DUN Changkat Jong setelah melalui proses perbincangan yang panjang dan berterusan.
"Pada 25 Oktober, surat pengesahan menjadi calon ditandatangani Presiden Amanah diemelkan kepada saya. E-mel itu bukan watikah tetapi adalah proses watikah yang bakal ditandatangani Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri ke-11 Malaysia.
"Pada pagi 28 Oktober, saya hadir ke Wisma Amanah Perak bersama pimpinan Amanah Perak membuat kenyataan media tentang senarai nama calon Amanah bagi mewakili PH di Perak yang dinamakan Presiden, Mohamad Sabu.
"Kemudian malamnya, DAP membuat pengisytiharan senarai para calonnya di salah sebuah hotel ternama di Ipoh. Ketika itulah, pertembungan antara Amanah dan DAP tentang kerusi Changkat Jong terbuka," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Beliau yang merupakan Ahli Majlis PH Perak berkata, PRU adalah waktu untuk rakyat membuat pemilihan masa hadapan negara.
Menurutnya, ahli politik jangan terus dibenci dan membenci sesama sendiri kerana mereka mempunyai tanggungjawab yang merentasi batas kaum, agama serta kelompok.
"Tidak kira daripada parti mana, kita adalah rakyat yang cintakan keamanan dan keharmonian. Negara ini bukan milik PH, PN, BN, GTA atau orang politik.
"Ketamakan hanya mengundang kerugian. Bak pepatah Melayu menyebut, ‘orang tamak selalu rugi’. Bahkan dalam mana jua tradisi ketamadunan masyarakat, pepatah itu adalah global sifatnya," katanya.
Semalam, Amanah menamakan calon bagi bertanding di kawasan berkenaan, manakala DAP pula mengumumkan Setiausaha Publisiti DAP Teluk Intan, Badrul Hisham Badarudin iaitu muka baharu sebagai calon di kerusi tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!